Thursday 31 January 2013

Untuk tatapan mereka yang ber'ic' 11

Saya dilahir dan dibesarkan di Besut, sebuah daerah dalam negeri Terengganu namun mempunyai dialek yang mirip negeri Cik Siti Wan Kembang. Lokasinya yang lebih hampir dengan Kota Bharu berbanding Kuala Terengganu, menyebabkan keluarga saya memilih KB sebagai destinasi membeli belah kami, sewaktu Besut masih belum mempunyai Pasarayanya sendiri. Sewaktu menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang di Selangor, rakan-rakan rapat saya juga kebanyakannya dari kalangan orang Kelantan. Tidak hairanlah sebagai seorang anak kecil, saya lebih selesa untuk menyokong pasukan bola sepak Kelantan berbanding Terengganu. Rasa kebersamaan saya adalah lebih dengan negeri tersebut.

Namun, itu semua tidak dapat mengubah hakikat bahawa saya tetap anak Terengganu yang mempunyai nombor 11 di tengah-tengah kad pengenalan
diri. Alhamdulillah, setelah berkelana untuk belajar sejak 1997, saya akhirnya pulang untuk berbakti di Terengganu sejak 2009. Bermula daripada detik itulah rasa cinta dan sayang kepada negeri ini semakin menebal. Kecintaan yang mencetuskan keinginan untuk melihat negeri ini terus maju dan berdaya saing. Kecintaan yang melahirkan rasa tanggungjawab utk sama-sama membangunkan negeri.

Namun melihatkan kepada bajet negeri Terengganu untuk tahun 2012, saya sedikit gusar. Jumlah bajet sebanyak rm 1.8 billion untuk penduduk seramai 1.2 juta adalah cukup mewah jika dibandingkan negeri lain di Malaysia. Untuk perbandingan, negeri termaju di Malaysia, Selangor membajetkan RM1.4 billion untuk rakyatnya yang 4 kali lebih tinggi berbanding negeri Terengganu. Namun, jika dilihat dengan lebih teliti, 90% peratus daripada perolehan negeri ini datangnya daripada minyak. Tanpa sumber minyak, negeri ini tidak akan mampu hatta untuk membayar gaji staf kerajaan negeri Terengganu sekalipun. Memandangkan minyak merupakan sumber asli yang terhad, yang boleh habis sebagaimana habisnya bijih timah di Perak, pemimpin politik Terengganu harus lah mempunyai perancangan untuk membangunkan ekonomi yang akan memastikan kemandirian negeri ini sesudah habisnya sumber minyak dalam masa 30-40 tahun akan datang. Namun, melihatkan kepada ekonomi negeri pada hari ini yang jauh ketinggalan hatta kepada jirannya Kelantan, saya mempunyai sebab untuk merasa risau.

Terkini, kerajaan pusat dengan 'government transformation programme' nya, giat berusaha untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi. Namun, melihatkan kepada senarai 'high impact project' yang dilaksanakan, saya tertanya-tanya kenapakah negeri Terengganu keciciran. Projek petrochemical complex yang menelan belanja billion ringgit akan dibuat di Pengerang Johor, 'Palm Oil Industrial Cluster' yang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM 2 billion di buat di Lahad Datu Sabah dan beberapa projek lain di seluruh negara.

Dengan pendapatan hasil minyak yang mencecah puluhan billion setiap tahun yang disalurkan kepada kerajaaan pusat, adalah wajar untuk Terengganu diberikan kutamaan untuj projek-projek besar sebegini. Namun, disebabkan lemahnya desakan politik kepada kerajaan pusat oleh pemimpin-pemimpin negeri menyebabkan Terengganu hanya mampu berputih mata. Menambah lagi derita orang Terengganu ialah apabila Kerajaan Negeri, menarik balik saman terhadap kerajaan Persekutuan dalam isu wang royalti petroleum.

Untuk yang tidak arif tentang isu royalti minyak ini, saya fikir wajar untuk saya ceritakan secara ringkas. Perjanjian antara Pengerusi Petronas yang pertama, Tengku Razaleigh Hamzah pada awal 1970an yang menyebut 5% daripada hasil minyak yang diambil daripada negeri Terengganu akan dibayar kepada kerajaan negeri setiap tahun. Sejak bermulanya pendaratan minyak di Kemaman, negeri ini telah menikmati pembayaran konsisten sebanyak 5 peratus setiap tahun. Namun semua itu berubah apabila PAS menguasai kerajaan negeri pada tahun 1999. Atas dasar politik sempit, salah seorang pemimpin UMNO Terengganu telah mencadangkan kepada kerajaan pusat agar menghentikan bayaran kepada kerajaan negeri. Royalti minyak Terengganu yang sepatutnya menjadi hak mutlak negeri terengganu yg telah dibayar saban tahun sebelum 1999, telah diturunkan tarafnya kepada wang ehsan oleh Kerajaan Pusat. Terpulang kepada Kerajaan pusatlah, kepada siapa dan berapa jumlah yang perlu diberikan. Ia bergantung kepada budi bicara persekutuan. Untuk sebuah negeri yang 90peratus perolehannya adalah daripada minyak, ini adalah suatu yang menakutkan. Ketiadaan sumber kewangan daripada minyak ini boleh menyebabkan kerajaan Terengganu lumpuh.

Penarikan saman terhadap kerajaan persekutuan hanya memburukkan keadaan. Dari segi perundangannya, kerajaan negeri telah bersetuju bahawa mereka tidak mempunyai hak terhadap duit minyak. Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya yang memerintah persekutuan Malaysia adalah Pakatan Rakyat (PR) dan yang memerintah negeri Terengganu adalah Barisan Nasional. Tentunya PR dari segi undang-undangnya boleh untuk tidak memberikan walau sesen pun kepada kerajaan negeri, hasil daripada permainan politik sempit pemimpin Terengganu.

Sepatutnyalah ahli-ahli politik negeri Terengganu mencontohi sesetengah ahli politik di Kelantan yang sanggup mengetepikan perbezaan politik dalam memperjuangkan nasib orang Kelantan. Dato' Mustapha Mohamad sebagai contoh adalah tokoh UMNO berusaha bermati-matian untuk membawa masuk pelbagai projek pembangunan kerajaan pusat, walaupun yang memerintah adalah kerajaan daripada Parti PAS. Tidak hairanlah dengan sumber kewangan yang jauh lebih rendah, ekonomi Kelantan kini dilihat lebih maju dan berdaya saing berbanding Terengganu. Tengku Razaleigh Hamzah juga menyokong tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan walaupun beliau sendiri adalah ahli Parlimen BN. Dengan tekanan secara sistematik oleh semua rakyat Kelantan, saya yakin mereka akan memperoleh royalti yang diidamkan.

Atas sebab itu, saya menyeru semua rakyat negeri ini, bersatu hati untuk memperjuangkan royalti yang merupakan hak kita bersama, sebelum negeri ini kehabisan sumber aslinya. Saya juga mohon rakyat ini lebih bijak untuk menolak mana-mana pemimpin yang mengamalkan politik sempit yang merugikan negeri, tidak kiralah pemimpin itu dari parti UMNO atau PAS. Moga-moga kita semua berjaya mewujudkan iklim politik yang lebih sihat pada masa akan datang.

Dr Tuan Muhd Fairuz Bin Tuan Ismail





No comments:

Post a Comment