Thursday 31 January 2013

Untuk tatapan mereka yang ber'ic' 11

Saya dilahir dan dibesarkan di Besut, sebuah daerah dalam negeri Terengganu namun mempunyai dialek yang mirip negeri Cik Siti Wan Kembang. Lokasinya yang lebih hampir dengan Kota Bharu berbanding Kuala Terengganu, menyebabkan keluarga saya memilih KB sebagai destinasi membeli belah kami, sewaktu Besut masih belum mempunyai Pasarayanya sendiri. Sewaktu menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang di Selangor, rakan-rakan rapat saya juga kebanyakannya dari kalangan orang Kelantan. Tidak hairanlah sebagai seorang anak kecil, saya lebih selesa untuk menyokong pasukan bola sepak Kelantan berbanding Terengganu. Rasa kebersamaan saya adalah lebih dengan negeri tersebut.

Namun, itu semua tidak dapat mengubah hakikat bahawa saya tetap anak Terengganu yang mempunyai nombor 11 di tengah-tengah kad pengenalan
diri. Alhamdulillah, setelah berkelana untuk belajar sejak 1997, saya akhirnya pulang untuk berbakti di Terengganu sejak 2009. Bermula daripada detik itulah rasa cinta dan sayang kepada negeri ini semakin menebal. Kecintaan yang mencetuskan keinginan untuk melihat negeri ini terus maju dan berdaya saing. Kecintaan yang melahirkan rasa tanggungjawab utk sama-sama membangunkan negeri.

Namun melihatkan kepada bajet negeri Terengganu untuk tahun 2012, saya sedikit gusar. Jumlah bajet sebanyak rm 1.8 billion untuk penduduk seramai 1.2 juta adalah cukup mewah jika dibandingkan negeri lain di Malaysia. Untuk perbandingan, negeri termaju di Malaysia, Selangor membajetkan RM1.4 billion untuk rakyatnya yang 4 kali lebih tinggi berbanding negeri Terengganu. Namun, jika dilihat dengan lebih teliti, 90% peratus daripada perolehan negeri ini datangnya daripada minyak. Tanpa sumber minyak, negeri ini tidak akan mampu hatta untuk membayar gaji staf kerajaan negeri Terengganu sekalipun. Memandangkan minyak merupakan sumber asli yang terhad, yang boleh habis sebagaimana habisnya bijih timah di Perak, pemimpin politik Terengganu harus lah mempunyai perancangan untuk membangunkan ekonomi yang akan memastikan kemandirian negeri ini sesudah habisnya sumber minyak dalam masa 30-40 tahun akan datang. Namun, melihatkan kepada ekonomi negeri pada hari ini yang jauh ketinggalan hatta kepada jirannya Kelantan, saya mempunyai sebab untuk merasa risau.

Terkini, kerajaan pusat dengan 'government transformation programme' nya, giat berusaha untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi. Namun, melihatkan kepada senarai 'high impact project' yang dilaksanakan, saya tertanya-tanya kenapakah negeri Terengganu keciciran. Projek petrochemical complex yang menelan belanja billion ringgit akan dibuat di Pengerang Johor, 'Palm Oil Industrial Cluster' yang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM 2 billion di buat di Lahad Datu Sabah dan beberapa projek lain di seluruh negara.

Dengan pendapatan hasil minyak yang mencecah puluhan billion setiap tahun yang disalurkan kepada kerajaaan pusat, adalah wajar untuk Terengganu diberikan kutamaan untuj projek-projek besar sebegini. Namun, disebabkan lemahnya desakan politik kepada kerajaan pusat oleh pemimpin-pemimpin negeri menyebabkan Terengganu hanya mampu berputih mata. Menambah lagi derita orang Terengganu ialah apabila Kerajaan Negeri, menarik balik saman terhadap kerajaan Persekutuan dalam isu wang royalti petroleum.

Untuk yang tidak arif tentang isu royalti minyak ini, saya fikir wajar untuk saya ceritakan secara ringkas. Perjanjian antara Pengerusi Petronas yang pertama, Tengku Razaleigh Hamzah pada awal 1970an yang menyebut 5% daripada hasil minyak yang diambil daripada negeri Terengganu akan dibayar kepada kerajaan negeri setiap tahun. Sejak bermulanya pendaratan minyak di Kemaman, negeri ini telah menikmati pembayaran konsisten sebanyak 5 peratus setiap tahun. Namun semua itu berubah apabila PAS menguasai kerajaan negeri pada tahun 1999. Atas dasar politik sempit, salah seorang pemimpin UMNO Terengganu telah mencadangkan kepada kerajaan pusat agar menghentikan bayaran kepada kerajaan negeri. Royalti minyak Terengganu yang sepatutnya menjadi hak mutlak negeri terengganu yg telah dibayar saban tahun sebelum 1999, telah diturunkan tarafnya kepada wang ehsan oleh Kerajaan Pusat. Terpulang kepada Kerajaan pusatlah, kepada siapa dan berapa jumlah yang perlu diberikan. Ia bergantung kepada budi bicara persekutuan. Untuk sebuah negeri yang 90peratus perolehannya adalah daripada minyak, ini adalah suatu yang menakutkan. Ketiadaan sumber kewangan daripada minyak ini boleh menyebabkan kerajaan Terengganu lumpuh.

Penarikan saman terhadap kerajaan persekutuan hanya memburukkan keadaan. Dari segi perundangannya, kerajaan negeri telah bersetuju bahawa mereka tidak mempunyai hak terhadap duit minyak. Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya yang memerintah persekutuan Malaysia adalah Pakatan Rakyat (PR) dan yang memerintah negeri Terengganu adalah Barisan Nasional. Tentunya PR dari segi undang-undangnya boleh untuk tidak memberikan walau sesen pun kepada kerajaan negeri, hasil daripada permainan politik sempit pemimpin Terengganu.

Sepatutnyalah ahli-ahli politik negeri Terengganu mencontohi sesetengah ahli politik di Kelantan yang sanggup mengetepikan perbezaan politik dalam memperjuangkan nasib orang Kelantan. Dato' Mustapha Mohamad sebagai contoh adalah tokoh UMNO berusaha bermati-matian untuk membawa masuk pelbagai projek pembangunan kerajaan pusat, walaupun yang memerintah adalah kerajaan daripada Parti PAS. Tidak hairanlah dengan sumber kewangan yang jauh lebih rendah, ekonomi Kelantan kini dilihat lebih maju dan berdaya saing berbanding Terengganu. Tengku Razaleigh Hamzah juga menyokong tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan walaupun beliau sendiri adalah ahli Parlimen BN. Dengan tekanan secara sistematik oleh semua rakyat Kelantan, saya yakin mereka akan memperoleh royalti yang diidamkan.

Atas sebab itu, saya menyeru semua rakyat negeri ini, bersatu hati untuk memperjuangkan royalti yang merupakan hak kita bersama, sebelum negeri ini kehabisan sumber aslinya. Saya juga mohon rakyat ini lebih bijak untuk menolak mana-mana pemimpin yang mengamalkan politik sempit yang merugikan negeri, tidak kiralah pemimpin itu dari parti UMNO atau PAS. Moga-moga kita semua berjaya mewujudkan iklim politik yang lebih sihat pada masa akan datang.

Dr Tuan Muhd Fairuz Bin Tuan Ismail





Friday 25 January 2013

Surat terbuka kepada rakan-rakan bukan Islam

Ketika mana Perkasa, sebuah NGO Melayu, dengan mudahnya melabelkan sesetengah orang bukan Islam sebagai Kafir Harbi (golongan bukan Islam yang wajib diperangi) , minda saya terimbau pengalaman kursus dakwah yang pernah saya sertai sekitar 9 tahun yang lalu, di Kolej Matrikulasi Yayasan Saad (sekarang telah bertukar nama kepada Kolej Yayasan UEM)

"Orang Kafir adalah merujuk kepada segolongan manusia yang menolak setelah sampainya kebenaran Islam kepada mereka. Jadi, bolehkah kita melabelkan orang bukan Islam di Malaysia sebagai kafir sewenang-wenangnya, sedangkan orang Melayu, tidak pernah menyampaikan Islam kepada mereka. Kalaulah saya mati sebagai seorang bukan Islam, pasti saya akan dakwa rakan-rakan Melayu di hadapan ALlah kerana tidak pernah bercakap atau menyampaikan Islam walaupun telah berkawan dengan mereka sejak kecil." Itulah luahan kekecewaan salah seorang penceramah yang merupakan bekas pendakwah Kristian, tentang kurangnya kesungguhan di kalangan orang Melayu untuk menyampaikan Islam kepada golongan non-muslim di Malaysia. Saya sedar bahawa saya juga termasuk dalam kalangan Melayu yang disebutkan. Walaupun tahu bahawa Islam adalah agama yang benar, namun atas kelemahan diri saya sendiri, masih belum mampu untuk berkongsi keindahan Islam dengan rakan-rakan non-muslim.

Jadi tulisan saya ini tujuannya adalah untuk mengajak rakan-rakan non Muslim yang mengenali saya, untuk mengenali agama Islam. Moga-moga ia boleh menjadi hujah kepada saya di hadapan Tuhan bahawa saya telah berusaha untuk menyampaikan Islam kepada anda. Saya mohon maaf, sekiranya ada akhlak saya yang tidak baik sebelum ini yang menyebabkan anda tidak berminat untuk mengenali agama yang mulia ini.

Islam adalah agama yang diturunkan sejak daripada lahirnya manusia pertama iaitulah Adam dan pasangannya Hawa (juga di kenali sebagai Eve oleh orang Kristian). Mesej agama ini disampaikan melalui Rasul-rasul (prophets) yang diutuskan Tuhan. Apabila berlaku kerosakan pada mesej agama disebabkan tokok tambah manusia, Tuhan mengutuskan Rasul-rasul, untuk membetulkan kembali mesej agama yang rosak. Nuh (Noah), Musa (moses), Isa (Jesus) adalah merupakan antara rasul-rasul yang pernah diutuskan. Muhammad adalah merupakan rasul terakhir yang diutuskan, juga untuk membetulkan mesej ketuhanan yang telah rosak eg.Isa yang merupakan seorang Rasul, telah dianggap sebagai anak Tuhan oleh orang Kristian.


Setiap rasul ini diberikan mukjizat (miracles) sebagai bukti bahawa mereka adalah utusan Tuhan. Musa (moses) sebagai contoh diberikan Tuhan kebolehan membelah laut, sewaktu dikejar Firaun (Pharaoh). Daud (david) diberikan kebolehan membengkokkan besi dengan tangan kosong. Muhammad sebagai Rasul terakhir, yang membenarkan rasul-rasul yang pernah datang sebelum baginda, juga dikurniakan mukjizat iaitulah kitab Al-Quran. Sebuah kitab yang bait-baitnya berjaya mengalahkan syair-syair terbaik pada waktu itu. Adalah mustahil bait-bait indah tersebut dihasilkan oleh seorang yang buta huruf bernama Muhammad. Inilah mukjizat yang membolehkan ramai orang Arab menerima Islam. Namun, selaku nabi terakhir, baginda bukanlah hanya diutuskan untuk orang arab 1400 tahun dahulu. Islam yang dibawa baginda juga merupakan agama untuk manusia yang hidup pada hari ini, iaitulah zaman sains dan teknologi. Kerana itulah di dalam Al-Qur'an terdapat banyak fakta-fakta sains, yang hanya dapat disahihkan sekitar 100 tahun kebelakangan ini melalui kajian dan penyelidikan. Ia adalah sebagai bukti kepada umat sains dan teknologi hari ini, bahawa Islam adalah agama yang benar, yang diutuskan melalui rasul yang terakhir, bernama Muhammad. Walaupun AlQur'an bukanlah 'book of science', ia adalah 'book of signs' untuk mereka yang berfikir dan berkehendakkan kebenaran.


Moga rakan-rakan sekalian boleh mengambil sedikit masa untuk membaca mukjizat (miracles) terbesar Muhammad ini. Boleh lawati website berikut : http://www.quranmiracles.com/

Moga-moga kalian bertemu dengan kebenaran. Amiin (Amen).

Friday 18 January 2013

Tuan Irfan Hakim: Diari ke-3 (1 bulan)

Hari ini genap umur irfan satu bulan. Wah, irfan dah besar!

Hari ni, abi ada. Kami berdua dengan opah bawa irfan ke klinik kesihatan untuk imunisasi irfan yang kedua (hepatitis B dos kedua). Irfan kena cucuk kat peha kanan. Irfan menangis, tapi sekejap je. Anak umi kan tabah dan kuat.

Lepas habis kena cucuk, abi bawa irfan, umi dan opah jalan-jalan sekitar ipoh (naik kereta myvi tok sebab abi balik naik bas). Irfan senyap je duduk dalam kereta. Anak umi ni suka berjalan ehh...hehe. Suka umi tengok irfan happy cam tu. Abi bawak tengok kawasan perumahan baru. Saje tengok design rumah cantik-cantik, nak beli tak mampu. Huhu.

Balik je rumah, irfan kepenatan...menyusu sekejap je lepas tu irfan tidur nyenyak. Itulah kisah irfan pada harijadi satu bulan irfan...

Umi sayang irfan anak umi yang manja nih, walaupun suka menangis. Semoga menjadi penyejuk mata abi dan umi.



Melayu dan skim cepat kaya dan bisnes MLM

Skim Cepat Kaya Dalam Bentuk Perniagaan MLM

Saya masih ingat sewaktu masih kecil, ada satu syarikat (yang saya sendiri telah lupa akan namanya) yang menawarkan peluang pelaburan yang sangat popular di kalangan penduduk Kampung Air Tawar, Besut. Salah seorang pegawai pengurus pelaburan yang direkrut adalah merupakan ahli karyah kampung tersebut.

Apa yang menariknya, pelaburan tersebut menjanjikan pulangan tetap sebanyak 10 peratus setiap bulan, ataupun dalam erti kata lain, wang anda akan menjadi dua kali ganda banyaknya hanya dalam tempoh setahun! Apabila ditanya mengenai bentuk perniagaan yang dijalankan, pegawai yang menguruskan hanya menjawab bahawa syarikat tersebut adalah milik jutawan arab yang budiman, yang ingin membantu orang Islam untuk meningkatkan ekonomi mereka. Sebab itulah salah satu syarat yang dikemukakan untuk pelabur ialah beragama Islam. Pada mulanya, tak ramai yang menyertai, namun setelah orang kampung melihat sendiri bagaimana mereka yang telah menjadi pelabur mengaut faedah setinggi 10 peratus setiap bulan, berbondonglah ahli karyah menuruti jejak langkah mereka.Keluarga saya juga tidak terkecuali.

Bulan pertama dan kedua, keluarga kami begitu gembira menerima labanya. Namun masuk bulan ketiga dan keempat, keuntungan yang dijanjikan tak kunjung tiba. Seperti yang dijangka, pelabur-pelabur lain juga menerima nasib yang sama. Tahulah kami bahawa sindiket tersebut adalah skim cepat kaya yang telah berjaya memperdayakan kami semua. Keluarga kami tidaklah begitu terkesan kerana duit yang digunakan adalah daripada simpanan. Namun yang menyedihkan, ada sesetengah ahli karyah yang melabur daripada duit yang dipinjam ataupun hasil gadaian harta yang mereka ada. Golongan inilah yang kelihatan begitu menderita dan terkesan dengan penipuan ini.

Inilah antara pengalaman awal saya berdepan dengan skim cepat kaya. Kini skim cepat kaya masih lagi wujud dalam bentuk yang semakin 'sophisticated' sesuai dengan kemajuan yang dikecapi masa kini. Banyak skim-skim internet yang pada mata kasarnya nampak seperti pelaburan, namun sebenarnya berorientasikan aktiviti penipuan.

Walaupun dalam bentuk yang semakin kompleks, ia masih mengekalkan beberapa ciri utama yang membolehkan kita mengenali mereka. Skim-skim cepat kaya ini biasanya akan memanipulasi sifat tamak yang ada pada diri manusia. Digambarkan orang-orang yang telah menyertai telah menerima hasil keuntungan yang banyak dan dapat hidup mewah. Tentu kita pernah lihat status-status 'facebook' berlatar belakangkan duit (termasuklah printscreen penyata kewangan bank) , beg-beg tangan mewah serta barang berjenama.Kebanyakannya adalah skim cepat kaya. Keuntungan yang dijanjikan oleh skim sebegini juga adalah jauh lebih besar berbanding skim pelaburan biasa. Sekiranya ada skim pelaburan yang menjanjikan kentungan melebihi 15 peratus setahun, berhati-hatilah. Kemungkinan besar ianya adalah skim penipuan.

Skim cepat kaya ini juga memanipulasikan sifat malas yang ada pada kita. Mereka menjanjikan keuntungan yang banyak tanpa perlu bersusah payah. Hanya perlu 'join' dan goyang kaki.

Ciri ketiga adalah bentuk perniagaan yang tidak jelas. Skim-skim ini biasanya tidak menyebut secara jelas aktiviti perniagaan mereka sebab sememangnya tiada aktiviti lain kecuali menipu!

Ciri keempat adalah memainkan sentimen bangsa dan agama. Kami hanya ingin membantu orang Melayu yang ketinggalan dari segi ekonomi. Itulah antara contoh ayat yang digunakan untuk memujuk orang-orang Melayu/Islam untuk menyertai mereka. Sekiranya ada mana-mana institusi yang mempunyai salah satu daripada ciri di atas ini, nasihat saya kepada semua agar berhati-hatilah, anda mungkin mangsa mereka yang seterusnya.

Tentu kita pernah melihat skim-skim di facebook yang mengajak kita menjadi ahli dengan bayaran yang tertentu yang menjanjikan pulangan dalam bentuk bonus. Kononnya pelaburan ini dapat membebaskan diri kita daripada bebanan ekonomi tanpa perlu bersusah payah. Apa yang perlu kita lakukan adalah hanya mencari ahli-ahli lain untuk mendaftar di bawah kita. Semakin banyak ahli yang direkrut, semakin banyak jugalah bonus yang menanti. Namun, persoalannya daripada manakah datangnya duit bonus yang kita dapat? Apakah bentuk perniagaan yang dijalankan oleh skim-skim ini? Perniagaan yang dilakukan tidak lain dan tidak bukan adalah berioentasikan penipuan dan bonus yang diperolehi adalah daripada duit pendaftaran ahli-ahli yang mendaftar di bawah kita. Dalam erti kata lain, bonus yang kita dapat adalah upah penipuan yang dibuat untuk menjerat orang lain.

Terkini, ada syarikat MLM yang modus operandinya saling tak tumpah seperti skim cepat kaya. Walaupun pada mata kasarnya nampak seperti perniagaan, namun setelah diamaati, ia mempunyai ciri-ciri meragukan. Untuk menyertai perniagaan MLM tersebut, kebiasaannya bayaran yang tinggi akan dikenakan eg. RM 20-30 ribu.Anda biasanya digalakkan untuk berhutang dengan bank untuk mendapat jumlah wang yang banyak itu. Setelah menyertai, anda akan diberi barang-barang yang kononnya bernilai sebanyak wang pendaftaran yang anda berikan. Namun, apabila diselidiki, harga pasaran untuk barang yang serupa dari segi kualitinya adalah jauh lebih rendah daripada harga yang dikenakan oleh syarikat MLM tersebut. Satu lagi ciri yang meragukan yang ada pada syarikat MLM ini fokus 'marketing' mereka. Fokus mereka bukanlah kepada penjualan produk syarikat, namun lebih kepada merekrut ahli baru. Jumlah 'jualan' yang digembar-gemburkan biasanya adalah merupakan jumlah duit pendaftaran ahli-ahli baru yang mencecah puluhan ribu ringgit setiap seorang. Bonus juga akan dibayar berdasarkan jumlah 'jualan' anda. Dalam erti kata lain, anda mendapat upah berdasarkan bilangan orang yang anda berjaya jerat! Orang yang direkrut juga dijanjikan tidak perlu bersusah payah berniaga, kerana mereka hanya perlu mencari rakan-rakan lain untuk turut serta, berbekalkan kemahiran dan teknik-teknik yang akan mereka ajarkan. Ahli-ahli MLM yang telah berjaya juga digambarkan dapat hidup senang lenang, menaiki kereta mewah, ditaja melancong kesana kemari oleh syarikat dan seribu satu kenikmatan duniawi untuk memanipulasi sifat tamak yang ada pada manusia. Disebabkan ciri-ciri yang ada pada syarikat MLM tersebut, saya tetap mengklasifikasikan mereka sebagai skim cepat kaya moden.

Ada rakan yang rapat dengan saya pernah tertipu dengan perniagaan sebegini. Duit pinjaman peribadi yang pada mulanya ingin digunakan untuk membeli kereta, telah digunakan untuk menyertai satu perniagaan MLM. Beliau yang bukanlah dari kalangan orang yang berada, terpaksa pula menanggung beban hutang akibat kesilapan pertimbangan yang dibuat. Sungguh saya begitu sedih atas nasib yang menimpanya. Atas sebab itulah, artikel ini saya tulis. Moga ada manfaatnya untuk semua.

Disclaimer: Tidak semua syarikat MLM tergolong dalam kategori skim cepat kaya. Ada yang betul-betul menjalankan perniagaan berbekalkan kekuatan produk yang mereka tawarkan dan tidak mengenakan bayaran pendaftaran melampau.

Dr Tuan Muhd Fairuz Tuan Ismail

Sunday 13 January 2013

ISMA berbeza untuk apa?

Kalaulah ISMA sebuah entiti perniagaan, saya tentu akan bersetuju dengan pendirian politiknya sekarang. Dalam bisnes, keupayaan anda untuk menonjolkan perbezaan/kelebihan produk anda berbanding produk sedia ada adalah kunci kepada kejayaan. Berbekalkan pendirian yang berbeza dengan gerakan-gerakan Islam lain di Malaysia inilah, yang telah berjaya menonjolkan nama ISMA ke persada nasional. Sebuah entiti yang hampir tidak dikenali sebelum ini, telah berjaya meletakkan dirinya ke persada nasional.

Namun, al fadhil Ustaz Abdullah Zaik bukanlah seorang CEO yang mengendalikan sebuah perniagaan. Entiti yang dipanggil ISMA adalah merupakan satu gerakan dakwah yang mengambil Ikhwanul Muslimin Mesir sebagai sumber inspirasi. Seharusnyalah, strategi yang diambil perlulah berbeza. Pendekatan marketing yang sesuai untuk entiti bisnes, tidak semestinya sesuai untuk entiti gerakan dakwah.

Dengan pendirian terbaru ISMA yang menyalahi gerakan-gerakan Islam lain di Malaysia, saya tertanya-tanya daripada manakah mereka mendapati sumber inspirasi mereka. Sungguh, pendirian terkini mereka yang menyebelahi pihak penguasa yang terkenal dengan seribu satu kepincangan adalah amat asing bagi gerakan Ikhwanul Muslimin. Tatkala mana gerakan-gerakan Islam seluruh dunia bergabung tenaga dengan gerakan sivil (civil movement) untuk menumpaskan diktator-diktator di negara masing-masing, ISMA mengambil langkah yang 180 darjah bezanya di negara sendiri. Sungguh saya tidak mengerti. Dalam kekerapan kenyataan bahawa mereka adalah non-partisan, sekerap itu jugalah mereka mengulangi/mempertahankan pendirian penguasa zalim. Seakan-akan membiarkan diri mereka menjadi baju perisai kepada pemerintah yang dihujani peluru-peluru dari gerakan kebangkitan rakyat.

Jika alasan yang mengatakan bahawa di Malaysia sistemnya sudah Islam, yang mana kelemahan hanyalah dari aspek pelaksanaan, maka pendirian yang harus diambil adalah pengislahan dan bukan penukaran regim, saya rasa Mesir lebih layak untuk berbuat demikian. Artikel 2 Perlembagaan Mesir adalah buktinya yang menyatakan bahawa Islam agama rasmi dan hukum Islam adalah sumber perundangan utamanya. Namun  ikhwan tetap bertindak menentang Husni Mubarak bersama-sama dengan rakyat Mesir dalam 'Arab Spring'untuk membebaskan negara itu daripada kediktatoran regim yang berkuasa. Apakah sumber perundangan Malaysia?  ISMA tentu lebih mengetahuinya.

Islam yang sepatutnya menjadi rahmat seluruh alam, menjadi instrumen untuk mengekalkan penguasa hanya kerana namanya Muhammad. Sungguh sukar untuk dimengertikan.
Namun saya yakin dan percaya, pendirian terbaru ini bukan hanya menggelisahkan aktivis gerakan islam lain tetapi juga aktivis-aktivis ISMA sendiri yang telah dididik dengan kerangka fikiran Ikhwanul Muslimin. Disebabkan itulah semakin ramai aktivis ISMA yang menjauhi pertubuhan ini kerana keganjilan pendirian politik yang diambil pimpinannya, yang mempopularkan entiti tersebut dalam wajah yang tidak baik. Namun, melarikan diri daripada masalah bukanlah jalan yang terbaik. Anda pasti boleh melakukan perubahan dan islah daripada dalam. Biiznillah. Amiin













Friday 11 January 2013

Kalimah ALlah dan 'inferiority complex' orang Melayu


Kalimah ALlah dan 'inferiority complex' orang Melayu

Semenjak kecil, secara langsung atau tidak langsung saya telah diajar oleh persekitaran tentang sifat bangsa Melayu yang kebanyakannya bersifat negatif. Orang melayu disifatkan sebagai bangsa yang malas, yang tidak pandai berniaga, yang tidak mampu bersaing dengan bangsa cina. Bangsa yang selamanya memerlukan tongkat untuk berjaya. 

Mencecah usia remaja, melalui kursus-kursus yang dianjurkan kerajaan, saya telah didoktrinkan untuk percaya bahawa orang cina sentiasa berusaha untuk menguasai Malaysia. Mereka mahu mendominasi setiap bidang kehidupan dan telah berjaya dalam banyak bidang kecuali politik. Hanya bidang politik sahaja masih dikuasai orang Melayu. Ini sahajalah yang dipunyai Melayu yang akan menentukan nasib bangsa pada masa hadapan. Inilah mesej yang disampaikan melalui lagu popular "anak kecil main api" yg dinyanyikan ketika kursus BTN.

Umat Melayu juga digambarkan sedang menghadapi ancaman Kristianisasi. Diceritakan bahawa ramai anak-anak Melayu telah murtad setalah minum air 'Holy Water'. Ilmu-ilmu agama dan ayat-ayat hafazan seolah-olah di 'flush out' dari dada peminum. Ada juga yang terpengaruh dengan Kristian setelah membaca kitab suci mereka iaitu Bible.
Jadi kami dinasihatkan agar berhati-hati dengan orang Kristian dan kitab Bible. Jangan sekali kali mendekati atau membaca kitabnya, bimbang kami akan turut terpengaruh dengan agama Kristian.

Beginilah keadaan saya dibesarkan. Dibesarkan dengan mentaliti terkepung (siege mentality) serta 'inferiority complex'. Sentiasa merasakan bahawa bangsa dan agama dalam keadaan lemah dan terdedah kepada ancaman luar. Saya percaya, pengalaman saya ini tidak jauh bezanya daripada majoriti orang Melayu yang lain.

Namun, syukur ke hadrat ALlah, tawaran menyambung pelajaran ke England merubah pandangan hidup saya.

Bermula di kolej persediaan, saya lihat sendiri bangsa yang saya sangkakan lemah ini, sebenarnya tidak jauh bezanya dengan bangsa lain. Bangsa ini juga mampu untuk berjaya jika mengikut resipi-resipi kejayaan. Yang menentukan kejayaan bukanlah bangsa tetapi sikap dan mentaliti yang betul.

Di kolej persediaan inilah, ketakutan serta perasaan tidak selamat saya kepada agama Kristian berjaya dihapuskan. Dalam satu kursus dakwah kepada bukan Islam, kami diajarkan tentang ajaran Kristian dan kitab sucinya Bible. Kami diyakinkan bahawa tidak ada apa-apa yang perlu ditakuti dalam Bible. Membacanya hanya akan menambahkan keyakinan bahawa Kristian adalah agama yang telah terpesong, dan Islam adalah agama yang benar, yang disampaikan melalui nabi yang terakhir iaitu Muhammad SAW. Antara orang mengendalikan kursus tersebut adalah bekas pendakwah kristian, saudara Lim Jooi Soon. Beliau menemui kebenaran Islam setelah mengkaji dan mendalami Bible.

Setibanya di England, saya dianugerahi ALlah nikmat yang besar iaitulah menyertai gerakan Islam. Disitulah saya bertemu dengan individu berbangsa melayu yang hebat. Kehebatan yang muncul hasil keiltizaman diri mereka kepada Islam. Barulah saya nampak secara praktikal akan kuasa tranformasi yang ada agama Islam yang saya anuti selama ini, yang telah mentransformasi bangsa Arab dan Turki. Bangsa padang pasir yang sering berkelahi sesama sendiri, dan juga bangsa nomad kepada bangsa yang mempunyai empayar yang hebat dan digeruni, bilamana mereka beriltizam dengan Islam. Kembalinya saya dari England, bukan sahaja sebagai seorang bergelar doktor, namun sebagai seorang Muslim yang tidak lagi dihinggapi penyakit 'inferiority complex' dan 'siege mentality'.

Kedua-dua penyakit inilah saya lihat masalah terbesar orang Melayu. Penyakit yang telah bersarang lama, subur sejak runtuhnya supremasi Kerajaan Islam Melaka pada tahun 1511. Kini, walaupun setelah 55 tahun merdeka, minda orang Melayu masih lagi terjajah.

Selagi mana kita tidak menanamkan bahawa orang Melayu yang mempunyai Islam sebagai sumber kekuatan adalah bangsa yang hebat, yang mampu bersaing dengan sesiapa sahaja, selagi itulah kita tidak akan mampu menjadi ummah yang hebat. Mungkin bertitik tolak daripada kesedaran inilah Dr Mahathir, sebagai Perdana Menteri kelima Malaysia membawakan konsep 'Malaysia boleh' , untuk menghasilkan bangsa Malaysia (termasuklah orang Melayu yang merupakan kaum majoriti) yang yakin diri, yang tidak takut untuk menghadapi saingan daripada luar.

Kebelakangan ini timbul isu berkenaan kewajaran orang Kristian di Malaysia menggunakan kalimah ALlah dalam terjemahan bible, sekali lagi mentaliti terkepung dan 'inferiority complex' sesetengah orang Melayu jelas kelihatan. Saya tidaklah berhasrat untuk mengulas dari segi hukum kerana ia bukanlah kepakaran saya, namun apa yang pasti, ulama' berselisih faham mengenainya. Ada yang melarang dan ada yang membolehkan. Maka sepatutnya isu ini agar tidak dipolemikkan.

Namun kebanyakan yang menghalang menyatakan kebimbangan akan kekeliruan yang mungkin timbul di kalangan remaja Islam sekiranya perkara tersebut dilaksanakan. Mereka khuatir sekiranya kalimah ALlah tersebut sebenarnya digunakan golongan pendakyah Kristian untuk memurtadkan umat Islam.

Saya secara peribadi lebih suka pandangan yang membenarkan penggunaan kalimah ALlah. Pendapat ini juga dikongsi rakan-rakan pendakwah yang aktif menyeru bukan Islam kepada kebaikan Islam. Tatkala mereka yang mempunyai mentaliti terkepung (siege mentality) melihat penggunaan kalimah ALlah sebagai ancaman, pendakwah yang berminda positif melihat ia sebagai satu peluang kepada umat Islam untuk berdakwah kepada orang Kristian. Jika rakan kita di Eropah dan dunia barat begitu bersungguh-sungguh menterjemahkan God sebagai ALlah untuk mendekati golongan Kristian di sana, mengapa tidak kita di sini. Mereka cumalah golongan minoriti di sana sedangkan kita golongan majoriti. Namun bezanya, mereka adalah kelompok yang punya keyakinan diri yang tinggi, golongan yang percaya dengan yakin akan kehebatan yang ada pada Islam tidak boleh ditandingi oleh agama lain. Tidak hairanlah dakwah mereka lebih berjaya.

Kalimah Allah yang mungkin digunakan untuk mendakyahkan orang Islam yang lemah akidahnya juga sepatutnya tidak menjadi isu. Tentu semua setuju bahawa golongan yang mudah diselewengkan oleh pendakyah kristian ini adalah golongan yang kurang ilmu. Maka tanggungjawab kitalah untuk berdakwah dan menanamkan akidah yang benar dalam diri mereka. Kejayaan mereka dimurtadkan adalah manifesti kegagalan kita umat Islam dan bukannya kekuatan yang ada pada agama/orang kristian. Janganlah hanya menyalahkan pihak luar atas kelemahan ummah sendiri.

Kesimpulannya, Islam yang ada pada kita sepatutnya menghalang kita daripada rasa lemah, kerana seperti kata Saidina Umar Al Khattab, kita adalah kaum yang dimuliakan ALlah dengan Islam. Tiada sebab untuk kita tidak menjadi hebat apabila Islam menjadi panduan hidup kita.









Tuesday 8 January 2013

Bukan salah PAS

Saya sedikit terganggu dengan seruan-seruan daripada ISMA sejak kebelakangan ini.

Seruan yang menyeru kepada kesatuan umat Melayu dalam bentuk kesepaduan politik antara PAS dan UMNO. Seruan yang secara dasarnya baik, namun seruan-seruan tersebut kebanyakannya terjurus hanya kepada Parti PAS, seolah-olah Parti Islam ini sahajalah yang salah dan ego. Seolah-olah perpecahan umat Melayu di Malaysia hanyalah kerana wujudnya parti ini. Digambarkan kepada massa bahawa amanat Presiden Parti pada tahun 1981 inilah yang menjadi punca kepada ketidak sepaduan umat.

Namun, sebelum menyalahkan PAS, saya ingin mengingatkan pembaca kepada beberapa fakta sejarah.

Bukan salah PAS, pada tahun 1951 apabila ulama'- ulama' UMNO keluar parti dan bersama-sama menubuhkan Parti Islam SeTanah Melayu sebagai protes kepada penajaan loteri oleh UMNO atas nama kebajikan. Itu dulu, syarikat-syarikat judi terbesar negara sekarang, syernya juga dipegang oleh orang-orang UMNO. Syarikat arak terbesar di Asia Tenggara (San Miguel) milik anak bekas PM Umno. Salahkah PAS sekiranya mereka tidak mempercayai orang-orang sebegini ?

Bukan salah PAS menentang UMNO yang sinonim dengan majlis tari menari disertai arak di Parlimen pada tahun 1950an hingga 1970 an. Perkara ini hanya terhapus bila PAS yang menyertai Parti Perikatan pada tahun 1969, menyatakan bantahan keras kepada upacara sebegini.

Bukan salah PAS juga yang mencurigai keikhlasan UMNO dalam seruan kesatuan mereka, yang sewaktu mereka lemah menjemput PAS sebagai anggota parti perikatan pada tahun 1969 namun setelah kuat ditendang keluar hujung 1970 an.

Bukan salah PAS juga yang menentang UMNO, yang pemimpinnya tanpa segan silu mencerca perundangan Islam pada tahun 1980 an sehingga lahirnya amanat Haji Hadi yang tujuannya hanya menerangkan intipati kitab mastika hadis, batasan antara iman dan kufur.

Bukan salah PAS yang mencurigai UMNO kerana parti ini jugalah yang menghalang pembayaran royalti kepada kerajaan PAS Terengganu pada tahun 1999. Terkini, Kelantan juga dinafikan hak yang sama.

Bukan salah PAS sekiranya tidak mempercayai UMNO yang dari dulu hingga sekarang kerana pemimpinnya sering kali terlibat dalam rasuah dan skandal moral.

Di sebalik seruan UMNO kepada kesatuan, mereka masih belum menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka telah insaf dan enggan mengulangi kesilapan yang telah mereka buat. Jadi bukan salah PAS sekiranya mereka enggan menyambut seruan perpaduan UMNO.

Nasihat saya kepada ISMA, seruan kepada kesatuan anda haruslah difokuskan kepada UMNO, si pembuat salah dan bukan kepada PAS yang tidak mahu bersama UMNO kerana kesalahan-kesalahan yang dibuat.

Oh ya, saya juga ingin menyeru kepada ISMA yang lantang dengan seruan kesatuannya agar bergabung dan bersatu dengan IKRAM, kerana anda berdua lahir dari kantung dan punyai matlamat yang sama. Kalau kesepaduan sesama gerakan Islam pun anda tidak boleh buat, usahlah menyeru kepada kesatuan dua parti politik yang 180 darjah bezanya.

Perseteruan PAS dan UMNO hanyalah membenarkan sabda Rasulullah yang menyatakan bahawa umatnya tidak akan bersatu dalam kesesatan.


Gambar: Fatwa mengharamkan loteri UMNO pada tahun 1951

Friday 4 January 2013

Azam Tahun Baru

Famili
-Mencari pengasuh yang beragama untuk Irfan
-Bercakap benda-benda yang baik dan positif di hadapan Irfan
-Menghabiskan membaca buku 'toddler taming' dan buku tarbiyatul aulad.
-Solat berjemaah dengan isteri di awal waktu + tazkirah waktu maghrib. Solat Isya' dan Solat Subuh sebolehnya di Masjid/surau
- Membacakan ummi dan Irfan satu hadis sebelum tidur
- Mengurangkan makan di luar (maksimum 3 kali seminggu)

Kerjaya
- Memohon untuk program master
- Membaca satu bab dalam tintinalli setiap minggu

Jemaah
- Menjadikan rumah sebagai salah satu tempat usrah.

Thursday 3 January 2013

Utusan UMNO

Jika dikurniakan ALlah duit yang lebih, saya ada satu syarikat yang benar-benar saya ingin beli, Utusan Group.

Sebuah syarikat yang berdaya saing satu ketika dahulu dengan menghasilkan pelbagai karya ilmiah kini kelihatan semakin lesu (persepsi saya) dan hilang taringnya. Akhbar hariannya, Utusan Malaysia yang mempunyai pembaca yang sangat ramai suatu ketika dahulu, kini semakin hari semakin kurang pembacanya.

Akhbar inilah yang mencatatkan penurunan pengedaran (circulation) yang konsisten dari setahun ke setahun berdasarkan laporan 'Audit bureau of circulation' sebanyak 20 peratus dari Jun 2006 hingga Jun 2009 (213,445 pada tahun 2006 kepada 169,548 pada tahun 2009). Jumlah penurunan sebanyak 20 peratus sepatutnya membuatkan pemilik dan pelabur syarikat tidak senang duduk, namun jika saya berada di tempat mereka, saya lebih membimbangi 'trend' menurun yang konsisten setiap tahun. Tentu ada masalah fundamental yang perlu ditangani untuk memastikan akhbar tersebut kekal relevan. Teramatlah malang sekiranya akhbar yang mempunyai sejarah yang panjang, lebih lama daripada usia negara kita sendiri, musnah akibat kesilapan keputusan perniagaan (bad business decision).

Kesilapan fundamental yang saya nampak adalah dengan menjadikan akhbar massa tersebut sebagai lidah rasmi kepada parti pemerintah. Ia bukan lagi media neutral yang memberikan ruang kepada pembaca untuk mendapatkan maklumat daripada semua pihak termasuk pihak pembangkang. Disebabkan penyiaran yang berat sebelah ini, ramai pembaca khususnya dari kalangan yang menyokong pembangkang semakin menjauhi akhbar ini. Satu lagi segmen masyarakat yang kurang memilih media ini adalah golongan muda yang lebih terdedah dengan pelbagai sumber maklumat melalui internet.

Lebih memburukkan keadaan, sering sekali kita melihat akhbar Utusan Malaysia mutaakhir ini kalah dalam saman fitnah. Yang terkini adalah saman Dato' seri Nizar Jamaluddin tentang isu nombor plat WWW1. Tidak hairanlah jika ramai yang menggelar akhbar ini sebagai akhbar fitnah nombor satu. Sememangnya saman yang terpaksa dibayar adalah merugikan syarikat, namun reputasi dan kredibiliti yang rosak adalah sesuatu yang lebih patut dibimbangi.

Yang lebih membimbangkan, saingan kepada Utusan Group, iaitu Kumpulan Karangkraf dengan akhbar hariannya Sinar Harian, memberikan pembaca, apa yang tiada pada utusan; penyiaran yang neutral. Mereka memberi ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menjelaskan sesuatu isu, sama seperti peluang yang diberikan kepada pemimpin kerajaan. Tidak hairanlah dalam masa yang singkat, akhbar yang pada mulanya hanya bermula di negeri Pantai Timur, kini telah menjadi sensasi nasional. Walaupun belum diedarkan di negeri-negeri utara, dan Johor namun jumlah edarannya yang dianggarkan sekitar 150000 semakin menyamai edaran akhbar-akhbar yang telah lebih lama bertapak. Saya yakin dan percaya, jika Utusan tidak mengubah strategi perniagaannya, mereka akan kalah kepada kumpulan Karangkraf dalam masa yang terdekat.

Saya berdoa agar ada jutawan diluar sana yang boleh membeli pegangan syarikat ini yang dipunyai oleh individu yang rapat dengan parti UMNO agar ia boleh berubah dan memastikan ia terus relevan pada masa akan datang. Adalah satu kesilapan besar dari segi strategi bisnes sekiranya terus menjadikan ianya sebagai Utusan Umno!


Tips untuk menghancurkan Parti Islam SeMalaysia (PAS)


Untuk menang dalam peperangan, benda yang paling utama adalah matlamat perang yang baik. Sekiranya anda mempunyai matlamat yang baik, pasti ramai yang akan menyokong dan menyertai anda tanpa perlu dipaksa atau disuruh.

Sebaliknya kalau matlamat peperangan itu tidak baik, contohnya peperangan yang diwujudkan untuk mengejar cita-cita peribadi pemerintah tanpa ada kebaikan kepada yang diperintah, peperangan anda pasti tidak akan mendapat sokongan. Motivasi tentera juga akan menjunam dan anda mungkin terpaksa berhadapan dengan golongan tentera yang melarikan diri dari medan perang kerana tak sanggup untuk mati atas matlamat perang yang buruk dan hina. Contoh paling mudah adalah Perang Iraq. Matlamat yang pada mulanya nampak baik pada pandangan orang Amerika iaitulah untuk menghapuskan senjata nuklear Saddam Hussein. Namun setelah peperangan berlangsung dan setelah diketahui bahawa nuklear yang disebut-sebut tak pernah wujud, makin ramai yang membantah peperangan tersebut termasuklah di kalangan Askar Amerika sendiri.

Rata-rata orang PAS yang saya temui adalah golongan yang komited dengan Islam. Mereka menyertai ‘peperangan’ bersama PAS atas tujuan atau matlamat ‘peperangan’ yang mulia, iaitulah untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia. Golongan ini bukanlah golongan yang mengharapkan habuan material kerana PAS adalah golongan yang sentiasa kalah dalam ‘perang’ (read: pilihanraya). Namun dengan adanya matlamat ‘peperangan’ yang mulia inilah, mereka sanggup berhabis masa, harta dan benda mereka tanpa dipaksa-paksa.

Jadi, cara yang mudah untuk memusnahkan PAS adalah denga menghancurkan matlamat perjuangan mereka. UMNO hendaklah menjadi parti yang benar-benar memperjuangkan Islam. Ahli-ahlinya perlu menghayati Islam dalam hidup dan dalam perjuangan politik mereka. Bukan sekadar slogan. Sekiranya perkara ini dilakukan, maka anda telah menghancurkan matlamat ‘peperangan’ Parti PAS. Anda juga akan menghancurkan motivasi yang ada pada ‘tentera-tentera’ PAS. Kalau UMNO dah berjuang dan mengamalkan Islam, maka sebab untuk PAS melawan UMNO sudah tiada. Tentera PAS akan lemah. Tiada lagi tenaga sukarelawan. Tiada lagi sumbangan dalam bentuk harta benda dan masa. PAS pasti hancur.

Jadi tak perlulah UMNO beria-ia nak bergabung dengan PAS. Anda ada pilihan yang lebih baik iaitulah menghancurkan terus pesaing anda. Tak perlulah habiskan berjuta-juta ringgit dapatkan nasihat APCO untuk kalahkan PAS. Anda hanya perlu ambil nasihat yang saya beri sekarang. Free of charge!