Friday 18 January 2013

Melayu dan skim cepat kaya dan bisnes MLM

Skim Cepat Kaya Dalam Bentuk Perniagaan MLM

Saya masih ingat sewaktu masih kecil, ada satu syarikat (yang saya sendiri telah lupa akan namanya) yang menawarkan peluang pelaburan yang sangat popular di kalangan penduduk Kampung Air Tawar, Besut. Salah seorang pegawai pengurus pelaburan yang direkrut adalah merupakan ahli karyah kampung tersebut.

Apa yang menariknya, pelaburan tersebut menjanjikan pulangan tetap sebanyak 10 peratus setiap bulan, ataupun dalam erti kata lain, wang anda akan menjadi dua kali ganda banyaknya hanya dalam tempoh setahun! Apabila ditanya mengenai bentuk perniagaan yang dijalankan, pegawai yang menguruskan hanya menjawab bahawa syarikat tersebut adalah milik jutawan arab yang budiman, yang ingin membantu orang Islam untuk meningkatkan ekonomi mereka. Sebab itulah salah satu syarat yang dikemukakan untuk pelabur ialah beragama Islam. Pada mulanya, tak ramai yang menyertai, namun setelah orang kampung melihat sendiri bagaimana mereka yang telah menjadi pelabur mengaut faedah setinggi 10 peratus setiap bulan, berbondonglah ahli karyah menuruti jejak langkah mereka.Keluarga saya juga tidak terkecuali.

Bulan pertama dan kedua, keluarga kami begitu gembira menerima labanya. Namun masuk bulan ketiga dan keempat, keuntungan yang dijanjikan tak kunjung tiba. Seperti yang dijangka, pelabur-pelabur lain juga menerima nasib yang sama. Tahulah kami bahawa sindiket tersebut adalah skim cepat kaya yang telah berjaya memperdayakan kami semua. Keluarga kami tidaklah begitu terkesan kerana duit yang digunakan adalah daripada simpanan. Namun yang menyedihkan, ada sesetengah ahli karyah yang melabur daripada duit yang dipinjam ataupun hasil gadaian harta yang mereka ada. Golongan inilah yang kelihatan begitu menderita dan terkesan dengan penipuan ini.

Inilah antara pengalaman awal saya berdepan dengan skim cepat kaya. Kini skim cepat kaya masih lagi wujud dalam bentuk yang semakin 'sophisticated' sesuai dengan kemajuan yang dikecapi masa kini. Banyak skim-skim internet yang pada mata kasarnya nampak seperti pelaburan, namun sebenarnya berorientasikan aktiviti penipuan.

Walaupun dalam bentuk yang semakin kompleks, ia masih mengekalkan beberapa ciri utama yang membolehkan kita mengenali mereka. Skim-skim cepat kaya ini biasanya akan memanipulasi sifat tamak yang ada pada diri manusia. Digambarkan orang-orang yang telah menyertai telah menerima hasil keuntungan yang banyak dan dapat hidup mewah. Tentu kita pernah lihat status-status 'facebook' berlatar belakangkan duit (termasuklah printscreen penyata kewangan bank) , beg-beg tangan mewah serta barang berjenama.Kebanyakannya adalah skim cepat kaya. Keuntungan yang dijanjikan oleh skim sebegini juga adalah jauh lebih besar berbanding skim pelaburan biasa. Sekiranya ada skim pelaburan yang menjanjikan kentungan melebihi 15 peratus setahun, berhati-hatilah. Kemungkinan besar ianya adalah skim penipuan.

Skim cepat kaya ini juga memanipulasikan sifat malas yang ada pada kita. Mereka menjanjikan keuntungan yang banyak tanpa perlu bersusah payah. Hanya perlu 'join' dan goyang kaki.

Ciri ketiga adalah bentuk perniagaan yang tidak jelas. Skim-skim ini biasanya tidak menyebut secara jelas aktiviti perniagaan mereka sebab sememangnya tiada aktiviti lain kecuali menipu!

Ciri keempat adalah memainkan sentimen bangsa dan agama. Kami hanya ingin membantu orang Melayu yang ketinggalan dari segi ekonomi. Itulah antara contoh ayat yang digunakan untuk memujuk orang-orang Melayu/Islam untuk menyertai mereka. Sekiranya ada mana-mana institusi yang mempunyai salah satu daripada ciri di atas ini, nasihat saya kepada semua agar berhati-hatilah, anda mungkin mangsa mereka yang seterusnya.

Tentu kita pernah melihat skim-skim di facebook yang mengajak kita menjadi ahli dengan bayaran yang tertentu yang menjanjikan pulangan dalam bentuk bonus. Kononnya pelaburan ini dapat membebaskan diri kita daripada bebanan ekonomi tanpa perlu bersusah payah. Apa yang perlu kita lakukan adalah hanya mencari ahli-ahli lain untuk mendaftar di bawah kita. Semakin banyak ahli yang direkrut, semakin banyak jugalah bonus yang menanti. Namun, persoalannya daripada manakah datangnya duit bonus yang kita dapat? Apakah bentuk perniagaan yang dijalankan oleh skim-skim ini? Perniagaan yang dilakukan tidak lain dan tidak bukan adalah berioentasikan penipuan dan bonus yang diperolehi adalah daripada duit pendaftaran ahli-ahli yang mendaftar di bawah kita. Dalam erti kata lain, bonus yang kita dapat adalah upah penipuan yang dibuat untuk menjerat orang lain.

Terkini, ada syarikat MLM yang modus operandinya saling tak tumpah seperti skim cepat kaya. Walaupun pada mata kasarnya nampak seperti perniagaan, namun setelah diamaati, ia mempunyai ciri-ciri meragukan. Untuk menyertai perniagaan MLM tersebut, kebiasaannya bayaran yang tinggi akan dikenakan eg. RM 20-30 ribu.Anda biasanya digalakkan untuk berhutang dengan bank untuk mendapat jumlah wang yang banyak itu. Setelah menyertai, anda akan diberi barang-barang yang kononnya bernilai sebanyak wang pendaftaran yang anda berikan. Namun, apabila diselidiki, harga pasaran untuk barang yang serupa dari segi kualitinya adalah jauh lebih rendah daripada harga yang dikenakan oleh syarikat MLM tersebut. Satu lagi ciri yang meragukan yang ada pada syarikat MLM ini fokus 'marketing' mereka. Fokus mereka bukanlah kepada penjualan produk syarikat, namun lebih kepada merekrut ahli baru. Jumlah 'jualan' yang digembar-gemburkan biasanya adalah merupakan jumlah duit pendaftaran ahli-ahli baru yang mencecah puluhan ribu ringgit setiap seorang. Bonus juga akan dibayar berdasarkan jumlah 'jualan' anda. Dalam erti kata lain, anda mendapat upah berdasarkan bilangan orang yang anda berjaya jerat! Orang yang direkrut juga dijanjikan tidak perlu bersusah payah berniaga, kerana mereka hanya perlu mencari rakan-rakan lain untuk turut serta, berbekalkan kemahiran dan teknik-teknik yang akan mereka ajarkan. Ahli-ahli MLM yang telah berjaya juga digambarkan dapat hidup senang lenang, menaiki kereta mewah, ditaja melancong kesana kemari oleh syarikat dan seribu satu kenikmatan duniawi untuk memanipulasi sifat tamak yang ada pada manusia. Disebabkan ciri-ciri yang ada pada syarikat MLM tersebut, saya tetap mengklasifikasikan mereka sebagai skim cepat kaya moden.

Ada rakan yang rapat dengan saya pernah tertipu dengan perniagaan sebegini. Duit pinjaman peribadi yang pada mulanya ingin digunakan untuk membeli kereta, telah digunakan untuk menyertai satu perniagaan MLM. Beliau yang bukanlah dari kalangan orang yang berada, terpaksa pula menanggung beban hutang akibat kesilapan pertimbangan yang dibuat. Sungguh saya begitu sedih atas nasib yang menimpanya. Atas sebab itulah, artikel ini saya tulis. Moga ada manfaatnya untuk semua.

Disclaimer: Tidak semua syarikat MLM tergolong dalam kategori skim cepat kaya. Ada yang betul-betul menjalankan perniagaan berbekalkan kekuatan produk yang mereka tawarkan dan tidak mengenakan bayaran pendaftaran melampau.

Dr Tuan Muhd Fairuz Tuan Ismail

No comments:

Post a Comment