Thursday 3 January 2013

Tips untuk menghancurkan Parti Islam SeMalaysia (PAS)


Untuk menang dalam peperangan, benda yang paling utama adalah matlamat perang yang baik. Sekiranya anda mempunyai matlamat yang baik, pasti ramai yang akan menyokong dan menyertai anda tanpa perlu dipaksa atau disuruh.

Sebaliknya kalau matlamat peperangan itu tidak baik, contohnya peperangan yang diwujudkan untuk mengejar cita-cita peribadi pemerintah tanpa ada kebaikan kepada yang diperintah, peperangan anda pasti tidak akan mendapat sokongan. Motivasi tentera juga akan menjunam dan anda mungkin terpaksa berhadapan dengan golongan tentera yang melarikan diri dari medan perang kerana tak sanggup untuk mati atas matlamat perang yang buruk dan hina. Contoh paling mudah adalah Perang Iraq. Matlamat yang pada mulanya nampak baik pada pandangan orang Amerika iaitulah untuk menghapuskan senjata nuklear Saddam Hussein. Namun setelah peperangan berlangsung dan setelah diketahui bahawa nuklear yang disebut-sebut tak pernah wujud, makin ramai yang membantah peperangan tersebut termasuklah di kalangan Askar Amerika sendiri.

Rata-rata orang PAS yang saya temui adalah golongan yang komited dengan Islam. Mereka menyertai ‘peperangan’ bersama PAS atas tujuan atau matlamat ‘peperangan’ yang mulia, iaitulah untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia. Golongan ini bukanlah golongan yang mengharapkan habuan material kerana PAS adalah golongan yang sentiasa kalah dalam ‘perang’ (read: pilihanraya). Namun dengan adanya matlamat ‘peperangan’ yang mulia inilah, mereka sanggup berhabis masa, harta dan benda mereka tanpa dipaksa-paksa.

Jadi, cara yang mudah untuk memusnahkan PAS adalah denga menghancurkan matlamat perjuangan mereka. UMNO hendaklah menjadi parti yang benar-benar memperjuangkan Islam. Ahli-ahlinya perlu menghayati Islam dalam hidup dan dalam perjuangan politik mereka. Bukan sekadar slogan. Sekiranya perkara ini dilakukan, maka anda telah menghancurkan matlamat ‘peperangan’ Parti PAS. Anda juga akan menghancurkan motivasi yang ada pada ‘tentera-tentera’ PAS. Kalau UMNO dah berjuang dan mengamalkan Islam, maka sebab untuk PAS melawan UMNO sudah tiada. Tentera PAS akan lemah. Tiada lagi tenaga sukarelawan. Tiada lagi sumbangan dalam bentuk harta benda dan masa. PAS pasti hancur.

Jadi tak perlulah UMNO beria-ia nak bergabung dengan PAS. Anda ada pilihan yang lebih baik iaitulah menghancurkan terus pesaing anda. Tak perlulah habiskan berjuta-juta ringgit dapatkan nasihat APCO untuk kalahkan PAS. Anda hanya perlu ambil nasihat yang saya beri sekarang. Free of charge!

No comments:

Post a Comment