Friday 25 January 2013

Surat terbuka kepada rakan-rakan bukan Islam

Ketika mana Perkasa, sebuah NGO Melayu, dengan mudahnya melabelkan sesetengah orang bukan Islam sebagai Kafir Harbi (golongan bukan Islam yang wajib diperangi) , minda saya terimbau pengalaman kursus dakwah yang pernah saya sertai sekitar 9 tahun yang lalu, di Kolej Matrikulasi Yayasan Saad (sekarang telah bertukar nama kepada Kolej Yayasan UEM)

"Orang Kafir adalah merujuk kepada segolongan manusia yang menolak setelah sampainya kebenaran Islam kepada mereka. Jadi, bolehkah kita melabelkan orang bukan Islam di Malaysia sebagai kafir sewenang-wenangnya, sedangkan orang Melayu, tidak pernah menyampaikan Islam kepada mereka. Kalaulah saya mati sebagai seorang bukan Islam, pasti saya akan dakwa rakan-rakan Melayu di hadapan ALlah kerana tidak pernah bercakap atau menyampaikan Islam walaupun telah berkawan dengan mereka sejak kecil." Itulah luahan kekecewaan salah seorang penceramah yang merupakan bekas pendakwah Kristian, tentang kurangnya kesungguhan di kalangan orang Melayu untuk menyampaikan Islam kepada golongan non-muslim di Malaysia. Saya sedar bahawa saya juga termasuk dalam kalangan Melayu yang disebutkan. Walaupun tahu bahawa Islam adalah agama yang benar, namun atas kelemahan diri saya sendiri, masih belum mampu untuk berkongsi keindahan Islam dengan rakan-rakan non-muslim.

Jadi tulisan saya ini tujuannya adalah untuk mengajak rakan-rakan non Muslim yang mengenali saya, untuk mengenali agama Islam. Moga-moga ia boleh menjadi hujah kepada saya di hadapan Tuhan bahawa saya telah berusaha untuk menyampaikan Islam kepada anda. Saya mohon maaf, sekiranya ada akhlak saya yang tidak baik sebelum ini yang menyebabkan anda tidak berminat untuk mengenali agama yang mulia ini.

Islam adalah agama yang diturunkan sejak daripada lahirnya manusia pertama iaitulah Adam dan pasangannya Hawa (juga di kenali sebagai Eve oleh orang Kristian). Mesej agama ini disampaikan melalui Rasul-rasul (prophets) yang diutuskan Tuhan. Apabila berlaku kerosakan pada mesej agama disebabkan tokok tambah manusia, Tuhan mengutuskan Rasul-rasul, untuk membetulkan kembali mesej agama yang rosak. Nuh (Noah), Musa (moses), Isa (Jesus) adalah merupakan antara rasul-rasul yang pernah diutuskan. Muhammad adalah merupakan rasul terakhir yang diutuskan, juga untuk membetulkan mesej ketuhanan yang telah rosak eg.Isa yang merupakan seorang Rasul, telah dianggap sebagai anak Tuhan oleh orang Kristian.


Setiap rasul ini diberikan mukjizat (miracles) sebagai bukti bahawa mereka adalah utusan Tuhan. Musa (moses) sebagai contoh diberikan Tuhan kebolehan membelah laut, sewaktu dikejar Firaun (Pharaoh). Daud (david) diberikan kebolehan membengkokkan besi dengan tangan kosong. Muhammad sebagai Rasul terakhir, yang membenarkan rasul-rasul yang pernah datang sebelum baginda, juga dikurniakan mukjizat iaitulah kitab Al-Quran. Sebuah kitab yang bait-baitnya berjaya mengalahkan syair-syair terbaik pada waktu itu. Adalah mustahil bait-bait indah tersebut dihasilkan oleh seorang yang buta huruf bernama Muhammad. Inilah mukjizat yang membolehkan ramai orang Arab menerima Islam. Namun, selaku nabi terakhir, baginda bukanlah hanya diutuskan untuk orang arab 1400 tahun dahulu. Islam yang dibawa baginda juga merupakan agama untuk manusia yang hidup pada hari ini, iaitulah zaman sains dan teknologi. Kerana itulah di dalam Al-Qur'an terdapat banyak fakta-fakta sains, yang hanya dapat disahihkan sekitar 100 tahun kebelakangan ini melalui kajian dan penyelidikan. Ia adalah sebagai bukti kepada umat sains dan teknologi hari ini, bahawa Islam adalah agama yang benar, yang diutuskan melalui rasul yang terakhir, bernama Muhammad. Walaupun AlQur'an bukanlah 'book of science', ia adalah 'book of signs' untuk mereka yang berfikir dan berkehendakkan kebenaran.


Moga rakan-rakan sekalian boleh mengambil sedikit masa untuk membaca mukjizat (miracles) terbesar Muhammad ini. Boleh lawati website berikut : http://www.quranmiracles.com/

Moga-moga kalian bertemu dengan kebenaran. Amiin (Amen).

No comments:

Post a Comment