Tuesday 8 January 2013

Bukan salah PAS

Saya sedikit terganggu dengan seruan-seruan daripada ISMA sejak kebelakangan ini.

Seruan yang menyeru kepada kesatuan umat Melayu dalam bentuk kesepaduan politik antara PAS dan UMNO. Seruan yang secara dasarnya baik, namun seruan-seruan tersebut kebanyakannya terjurus hanya kepada Parti PAS, seolah-olah Parti Islam ini sahajalah yang salah dan ego. Seolah-olah perpecahan umat Melayu di Malaysia hanyalah kerana wujudnya parti ini. Digambarkan kepada massa bahawa amanat Presiden Parti pada tahun 1981 inilah yang menjadi punca kepada ketidak sepaduan umat.

Namun, sebelum menyalahkan PAS, saya ingin mengingatkan pembaca kepada beberapa fakta sejarah.

Bukan salah PAS, pada tahun 1951 apabila ulama'- ulama' UMNO keluar parti dan bersama-sama menubuhkan Parti Islam SeTanah Melayu sebagai protes kepada penajaan loteri oleh UMNO atas nama kebajikan. Itu dulu, syarikat-syarikat judi terbesar negara sekarang, syernya juga dipegang oleh orang-orang UMNO. Syarikat arak terbesar di Asia Tenggara (San Miguel) milik anak bekas PM Umno. Salahkah PAS sekiranya mereka tidak mempercayai orang-orang sebegini ?

Bukan salah PAS menentang UMNO yang sinonim dengan majlis tari menari disertai arak di Parlimen pada tahun 1950an hingga 1970 an. Perkara ini hanya terhapus bila PAS yang menyertai Parti Perikatan pada tahun 1969, menyatakan bantahan keras kepada upacara sebegini.

Bukan salah PAS juga yang mencurigai keikhlasan UMNO dalam seruan kesatuan mereka, yang sewaktu mereka lemah menjemput PAS sebagai anggota parti perikatan pada tahun 1969 namun setelah kuat ditendang keluar hujung 1970 an.

Bukan salah PAS juga yang menentang UMNO, yang pemimpinnya tanpa segan silu mencerca perundangan Islam pada tahun 1980 an sehingga lahirnya amanat Haji Hadi yang tujuannya hanya menerangkan intipati kitab mastika hadis, batasan antara iman dan kufur.

Bukan salah PAS yang mencurigai UMNO kerana parti ini jugalah yang menghalang pembayaran royalti kepada kerajaan PAS Terengganu pada tahun 1999. Terkini, Kelantan juga dinafikan hak yang sama.

Bukan salah PAS sekiranya tidak mempercayai UMNO yang dari dulu hingga sekarang kerana pemimpinnya sering kali terlibat dalam rasuah dan skandal moral.

Di sebalik seruan UMNO kepada kesatuan, mereka masih belum menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka telah insaf dan enggan mengulangi kesilapan yang telah mereka buat. Jadi bukan salah PAS sekiranya mereka enggan menyambut seruan perpaduan UMNO.

Nasihat saya kepada ISMA, seruan kepada kesatuan anda haruslah difokuskan kepada UMNO, si pembuat salah dan bukan kepada PAS yang tidak mahu bersama UMNO kerana kesalahan-kesalahan yang dibuat.

Oh ya, saya juga ingin menyeru kepada ISMA yang lantang dengan seruan kesatuannya agar bergabung dan bersatu dengan IKRAM, kerana anda berdua lahir dari kantung dan punyai matlamat yang sama. Kalau kesepaduan sesama gerakan Islam pun anda tidak boleh buat, usahlah menyeru kepada kesatuan dua parti politik yang 180 darjah bezanya.

Perseteruan PAS dan UMNO hanyalah membenarkan sabda Rasulullah yang menyatakan bahawa umatnya tidak akan bersatu dalam kesesatan.


Gambar: Fatwa mengharamkan loteri UMNO pada tahun 1951

No comments:

Post a Comment