Thursday 28 February 2013

Barang yang perlu dibawa untuk mengerjakan umrah

http://harmoni2u.com/index.php?option=com_content&view=article&id=202&Itemid=341

Saturday 23 February 2013

Masalah utama UMNO: Keengganan untuk bersaing secara sihat

Hizbi adalah merupakan gerakan pelajar di United Kingdom dan Republic Ireland yang di taja oleh PAS yang mula ditubuhkan pada akhir 1980an. Melalui gerakan inilah PAS merekrut dan melahirkan pelapis kepimpinan mereka daripada golongan terpelajar. Ia adalah merupakan satu tindakan yang strategik ke arah menjadikan PAS sebagai parti yang didokong oleh golongan profesional. Saban tahun, pengaruh gerakan pelajar ini semakin kuat sehingga memaksa UMNO  mengambil tindakan yang drastik dengan mengharamkan Hizbi pada tahun 2003 di Loch Lomond.

Secara kasarnya, mungkin tindakan ini dilihat sebagai tindakan bijak yang menguntungkan UMNO. Namun, jika diteliti, ia adalah strategi yang memberikan kerugian besar kepada UMNO untuk jangka masa panjang. Jika sebelum pengharaman, UMNO berpeluang memantau pergerakan Hizbi dengan mudah, pengharaman yang memaksa gerakan pelajar PAS tersebut bergerak secara 'underground' telah menyukarkan mereka berbuat demikian. Mereka juga yang sepatutnya berpeluang menjadikan Hizbi sebagai 'benchmark' saingan untuk Kelab UMNO luar negara dalam melahirkan kepimpinan pelapis, telah kehilangan peluang keemasan tersebut sebaik sahaja Hizbi diharamkan. Tanpa persaingan yang sihat, Kelab UMNO luar negara berubah menjadi kelab 'syok sendiri' yang fungsinya tidak lebih daripada kelab sosial tanpa menawarkan nilai-nilai tambah kepada ahlinya. Hizbi dalam keterbatasan pergerakan secara 'underground' pula telah berevolusi menjadi gerakan yang lebih tersusun dan cekap, yang menawarkan pembinaan sakhsiah dan latihan kepimpinan, yang tidak ada pada Kelab UMNO. Tidak hairanlah, sebahagian ahli-ahli yang direkrut gerakan pelajar PAS ini adalah terdiri daripada anak-anak pimpinan UMNO sendiri. Aktivis Hizbi juga dilihat sebagai golongan yang dizalimi sikap 'double standard' UMNO dalam soal penglibatan pelajar dalam politik yang menambahkan bilangan simpatisan kepada gerakan tersebut.

Inilah contoh kegagalan UMNO. Kegagalan yang bertitik tolak daripada cara pandang yang salah terhadap persaingan. Persaingan yang hanya dilihat sebagai ancaman dan bukannya sebagai satu motivasi untuk memperbaiki parti. Tidak keterlaluan rasanya jika saya ibaratkan cara pandang yang salah ini sebagai racun arsenik buat UMNO yang membunuh secara perlahan-lahan.

Namun keengganan UMNO untuk menerima persaingan secara sihat bukan bermula pada tahun Hizbi diharamkan. Ia telah lama berlaku dan ia adalah antara sebab mengapa UMNO sekarang semakin lemah, dan lawannya PAS, semakin hari semakin kuat dan jauh meninggalkan lawannya. Di bawah ini adalah merupakan beberapa contoh yang saya rasa perlu untuk disebutkan untuk dijadikan iktibar buat UMNO.

UMNO pada tahun 1990 yang tewas kepada PAS di Kelantan, mengekang pelbagai bentuk bantuan kepada Kerajaan PAS. Terbaru adalah penafian royalti minyak untuk Kelantan, walaupun tuntutan tersebut disokong oleh Tengku Razaleigh, bekas pengerusi Petronas sendiri.

UMNO pada tahun 1999 yang tewas kepada PAS di Terengganu, telah merampas royalti milik kerajaan Terengganu pada tahun 2000. Cubaan menghapuskan terus lawannya PAS yang menguasai Terengganu pada waktu itu dengan cara yang kotor.

UMNO dengan kekuasaan mereka, memperalatkan kesemua media massa utama untuk kepentingan mereka. Kesemua berita yang melibatkan lawannya cuba ditonjolkan dalam bentuk yang negatif. Akibat campur tangan melampau ini, majoriti rakyat Malaysia tidak lagi mempercayai media massa yang dikuasai UMNO, dan lebih gemar untuk mendapatkan sumber berita daripada media alternatif.

Kini, keengganan pemimpinnya untuk berdebat dengan pemimpin pembangkang dalam membahaskan apa yang terbaik untuk negara adalah manifestasi keengganan mereka untuk bersaing secara sihat. Natijahnya pemimpin UMNO dilihat sebagai pengecut dan kurang idea baru dalam membangunkan negara.

Jika dalam dunia perniagaan, umum menyetujui bahawa persaingan akan menatijahkan servis yang lebih baik untuk pengguna. Hukum yang sama juga boleh diguna pakai untuk politik.

Pesan saya buat UMNO. Berubahlah. Bersedialah berlawan secara sihat dengan lawan untuk kebaikan semua. PAS memerlukan saingan yang baik untuk membangun negara!

Saturday 16 February 2013

Pencarian pasangan hidup

Pencarian mencari pasangan hidup bermula ketika saya berumur 18 tahun, saat saya menjejakkan kaki ke kolej persediaan untuk ke luar negara di Lembah Beringin.

Untuk seorang yang cuba mengelakkan percintaan sebelum perkahwinan, tentulah sukar secara logiknya untuk saya mencari teman yang sempurna. Namun saya percaya pada kekuatan doa.

Bertitik tolak daripada keyakinan itulah, saya sentiasa berdoa agar ditunjukkan jodoh yang terbaik. Permintaan yang dibuat tidak spesifik, kerana saya yakin bahawa Allah lebih mengetahui orang yang terbaik dan paling sesuai untuk saya. Seseorang yg nampak cantik pada pandangan luaran dan baik akhlaknya pada pandangan kita, tidak semestinya pilihan yang terbaik.

Saya mengakui dalam tempoh pencarian, hati saya berkenan dengan beberapa orang muslimah. Namun, setiap kali saya beristikharah, setiap kali itu jugalah terjadi sesuatu perkara yang entah bagaimana meyakinkan saya bahawa mereka bukanlah jodoh yang ditentukan ALlah untuk saya.

Perkara ini terjadi beberapa kali. Melangkah ke tahun 2 A Level, pencarian diteruskan di kalangan junior perempuan yang baru mendaftar. Seorang pelajar yang bertudung labuh menarik perhatian saya. Dengan penampilan sebegitu, saya menyangka dia adalah lepasan sekolah agama namun sangkaan saya meleset. Seorang yang sentiasa melazimi solat solat fardhu secara berjemaah di surau kolej, dan sentiasa konsisten menghabiskan waktu rehat untuk Solat Dhuha. Seorang yang sentiasa menundukkan pandangan apabila berselisih. Dia bukanlah lepasan sekolah agama, namun komitmennya terhadap deenul Islam ini boleh saja mengalahkan majoriti lepasan SMKA/Maahad. Ya, saya telah jatuh hati pada akhlaknya.

Saya meneruskan usaha untuk mengenali dirinya. Semakin saya mengenalinya, semakin kuat gerak hati yg mengatakan bahawa dialah jodoh saya. Berselisih dengannya membuat hati saya bergetar dan berdebar. Saya memohon kepada ALlah agar diberikan petunjuk dalam solat istikharah.

Pada suatu malam, saya telah diberikan kekuatan untuk memaklumkan kepadanya tentang gerak hati saya yg merasakan bahawa dia adalah jodoh saya. Secara logiknya, dia selaku seorang yang tidak pernah mengenali saya, pastinya akan meminta masa untuk memikirkan tentang lamaran tersebut. Saranan untuk dia melakukan solat istikharah, memohon petunjuk daripada ALlah pada hemat saya merupakan saranan yang wajar.

Namun jawapan yang saya terima adalah amat mengejutkan. Dia telahpun beristikharah dan dia juga merasakan bahawa saya adalah jodoh yang telah ditakdirkan ALlah untuknya. SubhanALlah. Saya menangis gembira dalam sujud syukur apabila menerima jawapan tersebut. Dialah jodoh dari ALlah yang saya cari-cari selama ini. Maha Suci Allah yang mengatur dan memudahkan urusan ini untuk saya.

Walaupun personaliti kami berbeza (dia seorang yang introvert dan saya extrovert), perbezaan pada dirinya itulah yang melengkapkan hidup saya. Seorang yang menyintai saya dengan sepenuh jiwa. Seorang yang membuatkan saya rasa beruntung kerana memilikinya. Seorang yang lahir ketenangan di hati dan jiwa saya apabila menatap wajahnya. Dialah Wan Nor Balqis, yang telah selamat bergelar isteri sejak tiga tahun lepas. Sungguh saya sayang dan mencintainya kerana ALlah. Moga2 cinta kami berdua adalah cinta yang membawa ke syurga.

Saturday 9 February 2013

ISMA dan pilihanraya


Saya tertarik dengan kesediaan ISMA untuk menyertai pilihanraya. Sebuah gerakan Islam yang sebelum ini memandang sepi dan mencemuh mereka yang terlibat dalam politik kerana dirasakan tidak syar'ie, kini telah menyatakan kesediaan untuk turut bertanding dalam pilihanraya ke 13, sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan dakwah mereka.

Terkini, selepas menubuhkan biro politik dan menyatakan kesediaan untuk bertanding, mereka mula mempopularkan satu seruan politik yang berbunyi 'Arus Baru'. Suatu seruan untuk mengutamakan calon muslim yang berwibawa, tanpa mengira parti politik yang diwakili. Seruan yang kelihatan baik dan neutral secara luarannya.  Namun, dengan kenyataan secara konsisten yang menyerang pakatan pembangkang terutamanya PAS,saya tertanya-tanya apakah matlamat sebenar seruan ini. Adakah benar seruan ini adalah untuk mengukuhkan suara orang Islam dalam parlimen untuk memastikan suara dan kepentingan orang Islam dan Melayu terpelihara? Kalau itulah maksud sebenarnya, haruslah seruan ini dibuat dalam keadaan ISMA bersifat neutral dan tidak memihak kepada mana-mana parti. Apa yang terjadi adalah yang sebaliknya. Mereka kelihatan begitu gemar untuk mengikut rentak yang dimainkan oleh parti pemerintah. Segala serangan 'order lama' terhadap Pakatan Rakyat diperkukuhkan dengan hujah-hujah agama oleh ISMA.

Namun, setelah memikirkan 'probable scenario' yang mungkin berlaku saya semakin yakin dan percaya, seruan 'Arus Baru' bukanlah seruan yang 'innocent' dan bersih. Ianya ini tidak lain dan tidak bukan adalah merupakan satu usahasama ISMA dan UMNO, untuk memecahkan undi golongan Islamis. Berikut adalah merupakan 'probable scenario' yang mungkin berlaku dengan penyertaan ISMA dalam PRU ke 13 dengan bantuan UMNO.

1) Dua calon muslim yang bertanding daripada dua parti utama yang berbeza (eg. PAS vs UMNO/ PKR vs UMNO). Untuk senario ini, calon ISMA akan bertanding dengan tiket UMNO melawan calon muslim daripada PKR/PAS. Siapakah yang diharapkan akan mengundi ISMA melalui seruan "Arus Baru" ? .  Pastinya undi yang didambakan adalah daripada golongan Islamis yang mungkin merasakan bahawa calon ISMA lebih berkualiti.

2) Pertembungan tiga penjuru antara dua calon muslim parti utama PR BN serta calon bebas dari ISMA. Undi siapakah yang didambakan ? Sekali lagi untuk senario ini, undi Islamis yang didambakan. Akan berlaku kekurangan undi islamis untuk PAS/PR yang kebiasaannya mendapat undi golongan Islamis, atas alasan calon bebas daripada ISMA mungkin dilihat lebih berkualiti dan patut disokong. ISMA berperanan untuk memecahkan undi.

3) Dua orang bukan Islam daripada parti utama (eg. MCA vs DAP) bertanding dan calon bebas daripada ISMA. Sekali lagi, dalam senario ini, undi islamis yang didambakan. Undi islamis yang spttnya pergi kepada DAP atas kesepakatan Pakatan Rakyat, mungkin akan hilang kepada calon bebas daripada ISMA.
Sekali lagi ISMA berperanan untuk memecahkan undi.

Untuk ketiga-tiga senario di atas, golongan yang paling untung adalah UMNO/BN dan yang rugi adalah Pakatan Rakyat terutamanya Parti Islam SeMalaysia.  yang mungkin berdepan dengan kehilangan sebahagian undi golongan Islamis yang naif dan kurang cermat dalam meneliti perkembangan poliitik tanah air.

Jadi, diharapkan agar golongan-golongan Islamis lebih berhati-hati dan tidak termakan dengan seruan 'Arus Baru' yang cuba untuk kelihatan neutral namun mempunyai agenda yang tersirat. ISMA adalah merupakan kuda tunggangan UMNO BN yang terbaru untuk memecah belahkan undi golongan Islamis. Period!