Saturday, 9 February 2013

ISMA dan pilihanraya


Saya tertarik dengan kesediaan ISMA untuk menyertai pilihanraya. Sebuah gerakan Islam yang sebelum ini memandang sepi dan mencemuh mereka yang terlibat dalam politik kerana dirasakan tidak syar'ie, kini telah menyatakan kesediaan untuk turut bertanding dalam pilihanraya ke 13, sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan dakwah mereka.

Terkini, selepas menubuhkan biro politik dan menyatakan kesediaan untuk bertanding, mereka mula mempopularkan satu seruan politik yang berbunyi 'Arus Baru'. Suatu seruan untuk mengutamakan calon muslim yang berwibawa, tanpa mengira parti politik yang diwakili. Seruan yang kelihatan baik dan neutral secara luarannya.  Namun, dengan kenyataan secara konsisten yang menyerang pakatan pembangkang terutamanya PAS,saya tertanya-tanya apakah matlamat sebenar seruan ini. Adakah benar seruan ini adalah untuk mengukuhkan suara orang Islam dalam parlimen untuk memastikan suara dan kepentingan orang Islam dan Melayu terpelihara? Kalau itulah maksud sebenarnya, haruslah seruan ini dibuat dalam keadaan ISMA bersifat neutral dan tidak memihak kepada mana-mana parti. Apa yang terjadi adalah yang sebaliknya. Mereka kelihatan begitu gemar untuk mengikut rentak yang dimainkan oleh parti pemerintah. Segala serangan 'order lama' terhadap Pakatan Rakyat diperkukuhkan dengan hujah-hujah agama oleh ISMA.

Namun, setelah memikirkan 'probable scenario' yang mungkin berlaku saya semakin yakin dan percaya, seruan 'Arus Baru' bukanlah seruan yang 'innocent' dan bersih. Ianya ini tidak lain dan tidak bukan adalah merupakan satu usahasama ISMA dan UMNO, untuk memecahkan undi golongan Islamis. Berikut adalah merupakan 'probable scenario' yang mungkin berlaku dengan penyertaan ISMA dalam PRU ke 13 dengan bantuan UMNO.

1) Dua calon muslim yang bertanding daripada dua parti utama yang berbeza (eg. PAS vs UMNO/ PKR vs UMNO). Untuk senario ini, calon ISMA akan bertanding dengan tiket UMNO melawan calon muslim daripada PKR/PAS. Siapakah yang diharapkan akan mengundi ISMA melalui seruan "Arus Baru" ? .  Pastinya undi yang didambakan adalah daripada golongan Islamis yang mungkin merasakan bahawa calon ISMA lebih berkualiti.

2) Pertembungan tiga penjuru antara dua calon muslim parti utama PR BN serta calon bebas dari ISMA. Undi siapakah yang didambakan ? Sekali lagi untuk senario ini, undi Islamis yang didambakan. Akan berlaku kekurangan undi islamis untuk PAS/PR yang kebiasaannya mendapat undi golongan Islamis, atas alasan calon bebas daripada ISMA mungkin dilihat lebih berkualiti dan patut disokong. ISMA berperanan untuk memecahkan undi.

3) Dua orang bukan Islam daripada parti utama (eg. MCA vs DAP) bertanding dan calon bebas daripada ISMA. Sekali lagi, dalam senario ini, undi islamis yang didambakan. Undi islamis yang spttnya pergi kepada DAP atas kesepakatan Pakatan Rakyat, mungkin akan hilang kepada calon bebas daripada ISMA.
Sekali lagi ISMA berperanan untuk memecahkan undi.

Untuk ketiga-tiga senario di atas, golongan yang paling untung adalah UMNO/BN dan yang rugi adalah Pakatan Rakyat terutamanya Parti Islam SeMalaysia.  yang mungkin berdepan dengan kehilangan sebahagian undi golongan Islamis yang naif dan kurang cermat dalam meneliti perkembangan poliitik tanah air.

Jadi, diharapkan agar golongan-golongan Islamis lebih berhati-hati dan tidak termakan dengan seruan 'Arus Baru' yang cuba untuk kelihatan neutral namun mempunyai agenda yang tersirat. ISMA adalah merupakan kuda tunggangan UMNO BN yang terbaru untuk memecah belahkan undi golongan Islamis. Period!


No comments:

Post a Comment