Pencarian mencari pasangan hidup bermula ketika saya berumur 18 tahun, saat saya menjejakkan kaki ke kolej persediaan untuk ke luar negara di Lembah Beringin.
Untuk seorang yang cuba mengelakkan percintaan sebelum perkahwinan, tentulah sukar secara logiknya untuk saya mencari teman yang sempurna. Namun saya percaya pada kekuatan doa.
Bertitik tolak daripada keyakinan itulah, saya sentiasa berdoa agar ditunjukkan jodoh yang terbaik. Permintaan yang dibuat tidak spesifik, kerana saya yakin bahawa Allah lebih mengetahui orang yang terbaik dan paling sesuai untuk saya. Seseorang yg nampak cantik pada pandangan luaran dan baik akhlaknya pada pandangan kita, tidak semestinya pilihan yang terbaik.
Saya mengakui dalam tempoh pencarian, hati saya berkenan dengan beberapa orang muslimah. Namun, setiap kali saya beristikharah, setiap kali itu jugalah terjadi sesuatu perkara yang entah bagaimana meyakinkan saya bahawa mereka bukanlah jodoh yang ditentukan ALlah untuk saya.
Perkara ini terjadi beberapa kali. Melangkah ke tahun 2 A Level, pencarian diteruskan di kalangan junior perempuan yang baru mendaftar. Seorang pelajar yang bertudung labuh menarik perhatian saya. Dengan penampilan sebegitu, saya menyangka dia adalah lepasan sekolah agama namun sangkaan saya meleset. Seorang yang sentiasa melazimi solat solat fardhu secara berjemaah di surau kolej, dan sentiasa konsisten menghabiskan waktu rehat untuk Solat Dhuha. Seorang yang sentiasa menundukkan pandangan apabila berselisih. Dia bukanlah lepasan sekolah agama, namun komitmennya terhadap deenul Islam ini boleh saja mengalahkan majoriti lepasan SMKA/Maahad. Ya, saya telah jatuh hati pada akhlaknya.
Saya meneruskan usaha untuk mengenali dirinya. Semakin saya mengenalinya, semakin kuat gerak hati yg mengatakan bahawa dialah jodoh saya. Berselisih dengannya membuat hati saya bergetar dan berdebar. Saya memohon kepada ALlah agar diberikan petunjuk dalam solat istikharah.
Pada suatu malam, saya telah diberikan kekuatan untuk memaklumkan kepadanya tentang gerak hati saya yg merasakan bahawa dia adalah jodoh saya. Secara logiknya, dia selaku seorang yang tidak pernah mengenali saya, pastinya akan meminta masa untuk memikirkan tentang lamaran tersebut. Saranan untuk dia melakukan solat istikharah, memohon petunjuk daripada ALlah pada hemat saya merupakan saranan yang wajar.
Namun jawapan yang saya terima adalah amat mengejutkan. Dia telahpun beristikharah dan dia juga merasakan bahawa saya adalah jodoh yang telah ditakdirkan ALlah untuknya. SubhanALlah. Saya menangis gembira dalam sujud syukur apabila menerima jawapan tersebut. Dialah jodoh dari ALlah yang saya cari-cari selama ini. Maha Suci Allah yang mengatur dan memudahkan urusan ini untuk saya.
Walaupun personaliti kami berbeza (dia seorang yang introvert dan saya extrovert), perbezaan pada dirinya itulah yang melengkapkan hidup saya. Seorang yang menyintai saya dengan sepenuh jiwa. Seorang yang membuatkan saya rasa beruntung kerana memilikinya. Seorang yang lahir ketenangan di hati dan jiwa saya apabila menatap wajahnya. Dialah Wan Nor Balqis, yang telah selamat bergelar isteri sejak tiga tahun lepas. Sungguh saya sayang dan mencintainya kerana ALlah. Moga2 cinta kami berdua adalah cinta yang membawa ke syurga.
No comments:
Post a Comment