Sewaktu saya masih tingkatan 2, ayah saya yang berpeluang mengerjakan umrah, menghadiahkan saya sehelai jubah berjenama Ad Dafah. Kata ayah ia adalah satu jenama terkenal. Dengan jahitan yang kemas dan pilihan fabrik yang berkualiti, tiada sebab untuk saya tidak jatuh cinta dengan jubah tersebut.
Namun, jodoh kami tidak lama, Hasilnya, jubah jenama lain yang walaupun masih baru namun tampil mengikut trend terkini, lebih terkenal dan berjaya berbanding Ad Dafah.
Entah kenapa saya teringatkan ISMA disebabkan beberapa persamaan yang ada antara keduanya. Seebuah NGO yang me'marketkan' entiti mereka sebagai Ikhwanul Muslimin Malaysia yang mengekalkan 'asolah' yakni keaslian dakwah Ikhwanul Muslimin Mesir. Suatu kumpulan yang dulunya duduk sebumbung di bawah Jamaah Islah Malaysia (JIM) namun telah bermufarakah atas penyimpangan JIM daripada manhaj asal Ikhwan Muslimin (ini dakwaan mereka).
Pengalaman saya dengan mereka bermula ketika saya masih belajar di United Kingdom (UK). Majlis Syura Muslimin (MSM) yang merupakan sebuah gerakan dakwah pelajar di UK&Eire yang sinonim dengan Jamaah Islah Malaysia (JIM) , kelihatan terpecah kepada dua kelompok sejak sekitar tahun 2005-2006. Satu kelompok yang moderat dan satu kumpulan yang lebih 'syadid'/keras dalam pendirian agama mereka. Kumpulan yang lebih 'syadid' ini antara lainnya menolak penglibatan dalam politik demokrasi atas alasan tidak syarie. Naqib dan naqibah mereka juga begitu gigih menghalang anak-anak buah mereka daripada menghadiri program gerakan dakwah pelajar yang lain. Hasilnya adalah golongan manusia yang bertarbiyah, namun mempunyai pandangan yang tertutup terhadap gerakan-gerakan dakwah lain.
Setelah pulang ke Malaysia, barulah saya mengerti tentang dua kumpulan dalam MSM ini. Salah satunya adalah mewakili JIM (kini Ikram), dan satu lagi mewakili pecahan JIM iaitu ISMA. Pecahan yang mewakili ISMA inilah yang kelihatan lebih 'syadid' dan rigid dalam gerak kerja dakwah mereka.
Saya ada beberapa sebab kenapa tidak bersetuju dengan pendekatan 'rigid' ISMA dan lebih selesa dengan pendekatan dinamik yang diambil oleh gerakan Islam lain seperti PAS, Ikram dan Abim. Memang tidak dinafikan, PAS sememangnya banyak terkesan dengan kerangka pemikiran Ikhwan Muslimin. Banyak pimpinannya yang menerima tarbiyah secara langsung daripada Ikhwan, antaranya termasuk Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Allahyarham ustaz Hassan Syukri, Ustaz Yahya Othman. Namun, meraikan perbezaan waqi' yang ada di Malaysia, PAS dalam beberapa hal terutamanya dalam bab politik tidak mengikut secara bulat-bulat pendekatan yang diambil oleh Ikhwan.
Pas juga dilihat lebih terkehadapan dalam inovasi politik antaranya ialah konsep 'Tahaluf Siyasi'/kesepakatan politik dengan golongan yang tidak bermatlamatkan Islam sebagai strategi pilihanraya yang mula dipelopori pada akhir 1980an oleh Allahyarham Fadzil Noor. Sesuatu pendapat yang agak asing bagi gerakan-gerakan islam di era 1980an, namun telah menjadi strategi yang diguna pakai hampir di seluruh dunia Islam kini.
Gerakan Nahdhah menang di Tunisia, dan Ikhwan mll Parti tajaan mereka berjaya menguasai Mesir. PAS pula dengan tahaluf siyasi yang dibuat berjaya mendekati masyarakat bukan Islam dan meruntuhkan tembok Islamophobia yang cuba dibina sekian lama oleh parti pemerintah. Dengan slogan PAS for all, Islam for all, semakin ramai orang bukan Islam yang menyokong dasar Islam Pas melalui penyertaan mereka ke dalam dewan himpunan penyokong PAS. Suatu fenomena yang mungkin tidak pernah kita bayangkan satu masa dahulu. Tidak mustahil suatu hari nanti, kita mungkin boleh melaksanakan hukum Islam apabila mendapat dokongan yang kuat daripada golongan muslim serta non muslim di Malaysia.
Namun, gerakan ISMA yang aktif memasarkan diri mereka sebagai Ikhwanul Muslimin Malaysia, kelihatan begitu rigid dalam pendekatan dakwah mereka. Akibat kurangnya pendedahan terhadap gerakan dakwah lain, setiap perbezaan dilihat sebagai penyimpangan daripada manhaj Ikhwan, walaupun terkadang kala perubahan itu adalah keperluan untuk kekal relevan. Mungkin disebabkan cara pandang yang rigid inilah, gerakan islam lain yang mengambil pendekatan yang berbeza dalam sesuatu perkara, dengan mudah dilabel sebagai liberal, menyimpang dari 'asolah dakwah', sosialis etc. Mereka gagal melihat perubahan yang dibuat adalah inovasi yang perlu untuk memastikan sesebuah gerakan terus kekal relevan mendepani cabaran semasa.
Jika sebelum ini mereka enggan melibatkan diri dalam politik atas alasan tidak syarie, namun kini setelah bermulanya penyertaan Ikhwan dalam arena politik Mesir secara serius, mereka kini dilihat beriya-iya menyertai pilihanraya dengan seruan Melayu Sepakat Islam berdaulat serta saranan untuk memilih calon muslim berwibawa dalam seruan 'Arus Baru' mereka. Jika gerakan Islam seluruh dunia, tanpa masalah menerima tahaluf siyasi sebagai strategi, mereka dilihat begitu berusaha untuk mengguna pakai pendapat ulama' yang popular pada tahun 1980an, dan menolak tahaluf siyasi atas alasan tidak syarie. Hasilnya, gagasan dibawa mereka yang ditumpukan kepada orang Melayu, kelihatan begitu sempit, yang menafikan sifat Islam itu sendiri yang merupakan rahmatan lila'lamiiin. Ia adalah satu langkah terkebelakang jika dibandingkan dengan apa yang telah dapat dicapai oleh PAS di Malaysia dan gerakan-gerakan Islam lain di seluruh dunia. Saya amat bersetuju dengan Dr Maza dalam forum di Kelantan baru-baru ini yang menyebut bahawa pendekatan Isma ini adalah pendekatan gerakan Islam yang belum matang sekitar tahun 1980an.
Nasihat saya, bersedialah untuk berubah untuk kebaikan ummah. Tanpa inovasi dan perubahan, ISMA mungkin bakal menghadapi nasib yang sama seperti jubah Ad Dafah!
No comments:
Post a Comment