Sunday, 13 January 2013

ISMA berbeza untuk apa?

Kalaulah ISMA sebuah entiti perniagaan, saya tentu akan bersetuju dengan pendirian politiknya sekarang. Dalam bisnes, keupayaan anda untuk menonjolkan perbezaan/kelebihan produk anda berbanding produk sedia ada adalah kunci kepada kejayaan. Berbekalkan pendirian yang berbeza dengan gerakan-gerakan Islam lain di Malaysia inilah, yang telah berjaya menonjolkan nama ISMA ke persada nasional. Sebuah entiti yang hampir tidak dikenali sebelum ini, telah berjaya meletakkan dirinya ke persada nasional.

Namun, al fadhil Ustaz Abdullah Zaik bukanlah seorang CEO yang mengendalikan sebuah perniagaan. Entiti yang dipanggil ISMA adalah merupakan satu gerakan dakwah yang mengambil Ikhwanul Muslimin Mesir sebagai sumber inspirasi. Seharusnyalah, strategi yang diambil perlulah berbeza. Pendekatan marketing yang sesuai untuk entiti bisnes, tidak semestinya sesuai untuk entiti gerakan dakwah.

Dengan pendirian terbaru ISMA yang menyalahi gerakan-gerakan Islam lain di Malaysia, saya tertanya-tanya daripada manakah mereka mendapati sumber inspirasi mereka. Sungguh, pendirian terkini mereka yang menyebelahi pihak penguasa yang terkenal dengan seribu satu kepincangan adalah amat asing bagi gerakan Ikhwanul Muslimin. Tatkala mana gerakan-gerakan Islam seluruh dunia bergabung tenaga dengan gerakan sivil (civil movement) untuk menumpaskan diktator-diktator di negara masing-masing, ISMA mengambil langkah yang 180 darjah bezanya di negara sendiri. Sungguh saya tidak mengerti. Dalam kekerapan kenyataan bahawa mereka adalah non-partisan, sekerap itu jugalah mereka mengulangi/mempertahankan pendirian penguasa zalim. Seakan-akan membiarkan diri mereka menjadi baju perisai kepada pemerintah yang dihujani peluru-peluru dari gerakan kebangkitan rakyat.

Jika alasan yang mengatakan bahawa di Malaysia sistemnya sudah Islam, yang mana kelemahan hanyalah dari aspek pelaksanaan, maka pendirian yang harus diambil adalah pengislahan dan bukan penukaran regim, saya rasa Mesir lebih layak untuk berbuat demikian. Artikel 2 Perlembagaan Mesir adalah buktinya yang menyatakan bahawa Islam agama rasmi dan hukum Islam adalah sumber perundangan utamanya. Namun  ikhwan tetap bertindak menentang Husni Mubarak bersama-sama dengan rakyat Mesir dalam 'Arab Spring'untuk membebaskan negara itu daripada kediktatoran regim yang berkuasa. Apakah sumber perundangan Malaysia?  ISMA tentu lebih mengetahuinya.

Islam yang sepatutnya menjadi rahmat seluruh alam, menjadi instrumen untuk mengekalkan penguasa hanya kerana namanya Muhammad. Sungguh sukar untuk dimengertikan.
Namun saya yakin dan percaya, pendirian terbaru ini bukan hanya menggelisahkan aktivis gerakan islam lain tetapi juga aktivis-aktivis ISMA sendiri yang telah dididik dengan kerangka fikiran Ikhwanul Muslimin. Disebabkan itulah semakin ramai aktivis ISMA yang menjauhi pertubuhan ini kerana keganjilan pendirian politik yang diambil pimpinannya, yang mempopularkan entiti tersebut dalam wajah yang tidak baik. Namun, melarikan diri daripada masalah bukanlah jalan yang terbaik. Anda pasti boleh melakukan perubahan dan islah daripada dalam. Biiznillah. Amiin













No comments:

Post a Comment